ACSR dapatkan maklum balas awam mengenai cadangan penggunaan piawaian ISSB di Malaysia - SC | DagangNews Skip to main content

ACSR dapatkan maklum balas awam mengenai cadangan penggunaan piawaian ISSB di Malaysia - SC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) yang dipengerusikan Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengeluarkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan penggunaan piawaian pendedahan kemampanan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (Piawaian ISSB). 

 

SC dalam satu kenyataan berkata, piawaian ISSB berfungsi sebagai piawaian asas yang akan membentuk Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF) di Malaysia. 

 

Katanya, ACSR bertujuan untuk mengenal pasti pemboleh yang akan memudahkan pelaksanaan Piawaian ISSB, khususnya IFRS S1 (Keperluan Am untuk Pendedahan Maklumat Kewangan berkaitan Kemampanan) dan IFRS S2 (Pendedahan berkaitan Iklim). 

 

"Kertas perundingan tersebut bertujuan mendapatkan maklum balas tentang isu utama termasuk skop dan masa pelaksanaan, pelepasan peralihan yang diperlukan dan isu yang berkaitan dengan jaminan untuk pendedahan kemampanan.
 

"Walaupun tumpuan utama adalah terhadap penerbit tersenarai dan syarikat besar tidak tersenarai, ACSR amat menggalakkan penyertaan daripada syarikat peringkat pertengahan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memastikan pemahaman yang menyeluruh tentang keperluan dan cabaran industri," katanya.

 

Selain entiti komersial, maklum balas daripada pengguna maklumat seperti pelabur, agensi penarafan, organisasi yang berminat dan mereka yang menyediakan perkhidmatan jaminan adalah penting untuk memastikan proses perundingan yang inklusif. 

 

Tempoh perundingan awam adalah dari 15 Februari hingga 21 Mac 2024. - DagangNews.com