Adab dalam komunikasi pemangkin hubungan harmoni | DagangNews Skip to main content

Adab dalam komunikasi pemangkin hubungan harmoni

Oleh NORAZLINDA MOHAMMAD

Adab dulu baru Ilmu

“Aku lebih menghargai orang yang beradab daripada berilmu.  Kalau hanya berilmu, iblis pun lebih tinggi ilmunya daripada manusia.”
-  Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani

 

 

MANUSIA merupakan makhluk yang hidup berkelompok, saling memerlukan dan berinteraksi di dalam kehidupan seharian. 

 

Komunikasi atau perbualan yang dilontarkan oleh seseorang memberi maksud mesej, niat, emosi dan maksud yang disampaikan kepada orang lain.

 

Definisi komunikasi secara umum ialah proses penyampaian atau pemindahan mesej dalam bentuk perasaan, maklumat, arahan, saranan dan sebagainya. 

 

Komunikasi yang berkesan adalah mewujudkan proses kefahaman orang lain mengenai mesej yang ingin disampaikan dan kedua-duanya mempunyai kefahaman atau persetujuan yang dikongsi bersama. 

 

Dasarnya, komunikasi yang baik membina pertalian, atau perhubungan sesama insan bukan sahaja membina hubungan baik dengan ALLAH SWT tetapi juga dengan sesama manusia seperti yang disarankan oleh agama Islam kepada umat, Hablum Minallah Hablum Minannas.

 

Dengan erti kata lain, komunikasi yang efektif berlaku sekiranya mesej yang disampaikan oleh sumber dengan keadaan atau maksud yang baik, nada suara yang rendah, difahami dengan tepat dan jelas oleh penerimanya, manakala mesej yang disuarakan oleh penghantar berbaur provokasi, kasar, mengarah akan mengundang respon sebaliknya. 

 

Oleh yang demikian, komunikasi yang baik dan relevan penting kerana ia mampu mempengaruhi minda mahupun tindakan atau perilaku seseorang di dalam proses interaksi.

 

Menurut Imam Ghazali, tajamnya lidah boleh memberi rasa kebaikan dan keburukan kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya. Lidah juga menggambarkan peribadi, cerminan imej, hati seseorang, justeru itu wahai manusia jagalah lisan kerana mulut badan binasa serta menyebabkan putusnya silaturahim.

 

 

sampan

 

 

Pepatah Melayu ada mengatakan, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.  Ini jelas bahawa, di dalam komunikasi perlu ada adab, manis dalam perbualan, sopan santun dalam tutur kata atau berbicara dan tata susila ketika membicarakan sesuatu hal, maksud, maklumat, memberi arahan, idea, pandangan atau cadangan kepada orang lain. 

 

Bulan Ramadhan yang mulia akan berkunjung tidak lama lagi, manusia disarankan untuk bermuhasabah diri, berbicara perkara yang baik dan banyakkan amalan dari lalai atau melakukan pembaziran yang mengundang kepada perkara maksiat dan fasiq. 

 

Selain menahan lapar, nafsu dan dahaga, elakkan dari berbual perkara yang tidak berfaedah, mengumpat, mengeji, menghina dan mendatangkan fitnah kerana hadirnya bulan Ramadhan; manusia dituntut untuk membuat perkara yang baik, mendatangkan pahala serta memberi impak yang positif kepada muslimin dan muslimat yang menjalani ibadah puasa.  Adalah lebih baik berdiam diri dari berbual perkara yang lagha dan mengundang kepada kerugian.

 

Adab dalam Komunikasi sesama Manusia

Kita sering mendengar, orang berkata ‘Tajamnya lidah dari pedang’.  Beberapa butir perkataan dari lidah boleh membawa kepada permusuhan, pergeseran dalam perhubungan dan perbalahan yang disengajakan atau tidak disengajakan.  Komunikasi berlaku dua hala antara penyampai dan penerima. 

 

Pepatah ada menyebut 'orang memberi, kita berasa; orang berbudi, kita berbahasa'.  Justeru itu, berbicaralah dengan minda yang rasional, bahasa yang baik bukan dengan perasaan berbaur kemarahan melalui lontaran suara tinggi, perkataan yang sinis, mengarah kerana ia boleh menyakiti hati, emosi dan perasaan orang yang menerimanya. 

 

Imam Ghazali pernah berkata, lidah seumpama pedang bahkan melalui lidah juga mencerminkan gambaran hati, keperibadian serta keimanan manusia di dalam membina perhubungan, berurusan dan menjalin hubungan sosial di dalam kehidupan. 

 

Gunakanlah akal ketika menyampaikan sebaris ayat atau perkataan dan jagalah hati penerima mesej ketika berinteraksi kerana pentingnya menjaga adab pertuturan dalam komunikasi demi menjaga kemaslahatan keharmonian hubungan dan jiwa sesama manusia.

 

Lantaran itu, hubungan interpersonal di dalam interaksi atau komunikasi perlu ada akal, sifat empati dan perasaan sensitif kerana seseorang itu tidak akan sewenangnya melontarkan perkataan yang semberono, mengadu domba dan boleh mengundang kepada pertikaian, persengketaan malah menyakiti emosi orang lain juga. 

 

 

parafrasa

 

 

Ia secara tidak langsung mengakibatkan kesan kepada akal dan jiwa, memberi impak sosial yang panjang serta menjejaskan institusi ketamadunan, keharmonian dan perhubungan sesama manusia. 

 

Jelas sekali, menggambarkan bahawa manusia perlu ada adab di dalam komunikasi, bersifat lemah lembut, empati, sensitiviti dan toleransi ketika membicarakan sesuatu perkara. Ini bagi menjaga kelestarian ukhuwah atau perhubungan manusia di dalam sesebuah masyarakat.

 

Didik Sifat Hormat di dalam Hubungan Interpersonal

Lazimnya, perhubungan interpersonal amat menekankan sifat saling hormat menghormati di dalam komunikasi dua hala antara individu dengan orang lain. 

 

Akar kepada perhubungan interpersonal sesama insan ialah hormati orang lain sebagaimana anda mahu orang lain menghormati anda. 

 

Di samping itu, perlu ada sifat empati atau sifat ihsan selaras dengan konsep MADANI iaitu bukan mementingkan diri tetapi cuba peka, memahami perasaan, pandangan dan permasalahan yang dihadapi orang lain.  Memiliki adab dan peribadi yang unggul akan dipandang tinggi dan disenangi dalam kalangan masyarakat. 

 

Justeru, dengan mempraktikkan komunikasi yang efektif dan baik bukan sahaja dapat mengurangkan jurang perhubungan, menyelesaikan konflik-konflik peribadi, gangguan komunikasi, prasangka dan permasalahan sesama manusia malah membina kekuatan silaturahim, bersatu padu, erat melalui jaringan komunikasi, kepercayaan, persefahaman dan hubungan yang baik antara satu sama lain. 

 

Adab atau akhlak yang baik mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan dan hal ini selari dengan pengertian 'rahmat' sebagai kasih sayang sesama manusia.

 

Pupuk Nilai Murni bagi Komunikasi Interpersonal berkesan

Kemahiran komunikasi menuntut manusia bukan sahaja mahir di dalam interaksi atau bual bicara malah sifat mendengar dengan baik dan tidak memotong perkataan, perbicaraan atau pandangan orang lain merupakan sifat hormat yang perlu disemai oleh individu. 

 

 

parafrasa

 

 

Elakkan bersifat agresif atau berdebat dengan seseorang.  Terdapat segelintir manusia yang tinggi egonya, narsistik dan cara beliau menuturkan atau menyampaikan sesuatu mesej tanpa disedari menyinggung perasaan orang lain. 

 

Di dalam komunikasi interpersonal, istiqamah, berhemah, tenang berbicara dengan menggunakan bahasa yang baik, sopan dan sentiasa merendah diri di dalam perbualan adalah sifat yang dituntut dalam Islam bagi memupuk persefahaman yang baik serta pemangkin kepada komunikasi yang berkesan dan lancar.

 

Bina hubungan yang baik, beradab, berhemah di dalam hubungan interpersonal dengan bersikap tolak ansur ketika berurusan samada kehidupan berjiran, berhubungan dengan rakan sekerja, bersosial dengan orang sekeliling bagi mewujudkan persekitaran yang beraura positif, harmoni dan ceria. 

 

Usah korbankan adab dan nilai murni, budi pekerti di dalam membina perhubungan yang baik sesama manusia demi kesejahteraan yang mutlak. 

 

Komunikasi Sihat, Holistik Menangkis Komunikasi Tidak Seragam

Dari segi sosiologi dan tamadun; manusia dilahirkan bukan hidup untuk menyendiri tetapi hidup bermasyarakat, berganding bahu, menggembleng tenaga, buah fikiran dan memupuk persefahaman yang baik ketika menghadapi tugasan yang perlu diselesaikan bersama.

 

Musyawarah,  perbincangan secara murni dan menyeluruh di dalam sesebuah organisasi perlu bagi menyampaikan mesej yang jelas, tepat dan holistik agar tidak timbul sebarang konflik, permasalahan atau kekeliruan di dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

 

Selain itu, ia dapat meningkatkan kerjasama di antara dua pihak bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. 

 

Aliran penyampaian maklumat yang jujur serta cepat dan ke arah matlamat yang sehala dapat dilaksanakan dengan mudah dengan komunikasi yang seragam. 

 

 

parafrasa

 

 

Komunikasi yang tidak seragam kelak akan membuahkan tekanan, keresahan, melahirkan pelbagai persepsi, emosi yang tidak puas hati kerana mesej yang disampaikan kepada rakan sekerja tidak sampai dengan jelas dan tidak teratur. 

 

Natijahnya, ia akan menjejaskan etika kerja profesionalisme, melunturkan semangat kerjasama, keharmonian persekitaran, produktiviti dan kualiti kerja di dalam organisasi.

 

Mungkin manusia sudah lupa dengan adab, toleransi atau tata cara berkomunikasi dengan baik di hadapan atau di dalam talian kerana dewasa kini lebih banyak berkomunikasi di halaman media sosial atau alam siber.

 

Realitinya sangat menyedihkan, adab dan nilai murni dalam komunikasi sesama manusia seakan pupus ditelan dengan arus kemodenan. 

 

Manusia; tidak ada ruginya berbuat baik sesama manusia kerana kesejahteraan hidup akan membawa kepada ketenangan akal, hati dan jiwa yang bersih di dalam menjalani kehidupan.

 

Tuntasnya, manusia perlu sedar dan berubah ke arah kebaikan dengan memadamkan virus ego, hasad, api cemburu, kebencian atau prejudis di dalam pemikiran dan hati demi membina perhubungan yang harmoni, sejahtera, merapatkan jurang perbezaan, menyelesaikan kepincangan, meredakan suasana yang tegang atau khilaf sesama manusia di ambang bulan yang seindah Ramadaan Al-Mubarak serta penuh rahmat dan keberkatan. – DagangNews.com

 

Norazlinda Hj Mohammad adalah Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi & Media KPPIM, UiTM Melaka