ADUN Sarawak gesa kembalikan pengurusan Lembaga Lada Malaysia | DagangNews Skip to main content

ADUN Sarawak gesa kembalikan pengurusan Lembaga Lada Malaysia

Lembaga Lada Malaysia

KUCHING 13 Nov. - Dewan Undungan Negeri (DUN) Sarawak digesa untuk mengembalikan semula pengurusan Lembaga Lada Malaysia (MPB) kepada Sarawak.

 

Gesaan itu dibuat setelah menilai kepada keadaan lembaga tersebut yang dilihat hilang hala tuju dalam memperkasa industri lada di negeri berkenaan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, lembaga berkenaan dilihat lebih berminat untuk memberi fokus kepada perniagaan lada berbanding pembangunan lada pekebun kecil.

 

"Lembaga Lada Malaysia sepatutnya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pembangunan lada pekebun kecil manakala anak syarikat iaitu Sara Spice Sdn. Bhd. menumpukan sepenuhnya kepada aktiviti promosi lada, bukannya terjun kepada bidang peniagaan sepenuhnya.

 

"Lembaga Lada Malaysia dilihat lebih berminat untuk berniaga lada sahaja kerana baru-baru ini kita mendengar bahawa anak syarikatnya, Sara Spice Sdn. Bhd. akan mengambil alih operasi pembelian lada.

 

“Saya risau langkah ini akan menyebabkan kepentingan dan nasib pekebun kecil lada di Sarawak akan terpinggir,” katanya semasa ucapan perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam, lapor DayakDaily.

 

Rolland Duat Jubin
Rolland Duat Jubin

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, tindakan tersebut  memperlihatkan bahawa Lembaga Lada Malaysia lebih
mementingkan keuntungan anak syarikatnya berbanding menjaga kepentingan dan isu pekebun kecil lada yang kini berdepan dengan kejatuhan harga komoditi tersebut.

 

“Hari ini harga belian lada cuma RM8 sekilogram dan kita melihat Lembaga Lada Malaysia tidak mempunyai hala tuju jelas untuk menangani masalah kejatuhan harga dan membantu pekebun kecil lada.

 

“Baru-baru ini mahu jual lada kepada mereka pun mesti pakai guni mereka dan ini amat menyusahkan pekebun kecil," tambahnya.

 

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap kehadiran pelabur besar untuk membuka ladang di negeri berkenaan.

 

“Kita juga mendengar bahawa mereka (Sara Spice Sdn. Bhd.) ingin membawa pelabur besar masuk membuka ladang besar dan ini amat jelas bahawa mereka tidak memikirkan tentang bagaimana untuk membangunkan pekebun kecil, sebaliknya mahu membuat peniagaan besar sahaja,” katanya lagi. - DagangNews.com