Aeon catat keuntungan dua ganda kepada RM85.3 juta pada 2021 | DagangNews Skip to main content

Aeon catat keuntungan dua ganda kepada RM85.3 juta pada 2021

Aeon telah menunjukkan pemulihan di dalam suku tahun yang dikaji dengan mencatatkan pendapatan berjumlah RM992.1 juta.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Feb – Aeon Co. (M) Bhd. mencatat Keuntungan Selepas Cukai (PAT) lebih daripada dua kali ganda kepada RM85.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) daripada RM41.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Pencapaian itu didorong oleh margin yang lebih luas melalui penambahbaikan strategi pembelian dan peningkatan rundingan, serta pengurusan kos secara berdisiplin.

 

Keputusan kewangan bagi suku keempat 2021 (4Q2021) merekodkan lonjakan sebanyak 161.4% dengan keuntungan bersih kepada RM71.0 juta berbanding suku yang sama pada FY2020.

 

Melalui penyesuaian dengan norma baharu dalam menjalankan perniagaan, Syarikat telah menunjukkan pemulihan di dalam suku tahun yang dikaji dengan mencatatkan pendapatan berjumlah RM992.1 juta, iaitu peningkatan sebanyak 8.3% daripada 4Q FY2020.

 

Berdasarkan prestasi Syarikat, pihak Lembaga Pengarah dengan sukacitanya mengumumkan dividen akhir sebanyak 3.0 sen untuk setiap saham awam bagi FY2021 (FY2020:1.5 sen) yang bersamaan dengan RM42.1 juta atau nisbah pembayaran sebanyak 49% untuk kelulusan pemegang saham.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Aeon, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya bersyukur di atas keputusan ini yang dicapai menerusi komitmen dan sokongan daripada Aeon Warriors, rakan kongsi perniagaan serta para pelanggan.

 

Beliau berkata, Aeon komited untuk memberikan pelbagai perkhidmatan bermutu menerusi operasi Peruncitan Baharu atau ‘New Retail’ bagi memenuhi kehendak serta corak pembelian para pelanggan yang sentiasa berubah.


 

 Shafie Shamsuddin
                                   Shafie Shamsuddin

 

''Namun begitu, kami tetap berhati-hati terhadap risiko yang mendatang, terutamanya dengan ketidaktentuan yang menyelubungi kemunculan varian baharu COVID-19, di dalam negara dan di peringkat global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam Aeon terus berusaha ke arah pendigitalan dan peningkatan pengalaman pelanggan melalui pengenalan ‘personal shopper’, perkhidmatan pandu lalu dan myAEON2go untuk menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih selamat, Aeon telah diiktiraf sebagai 10 Jenama Terkemuka Malaysia oleh Laporan Kecemerlangan Pengalaman Pelanggan Global KPMG 2021.

 

“Kami akan meneruskan perjalanan transformasi digital kami yang telah berjaya membuktikan keberkesanannya dan juga mempertingkatkan lagi kebolehan myAEON2go iaitu platform e-dagang kami untuk menambahbaik pengalaman pengguna di masa hadapan.

 

‘’Berpandukan pendekatan perniagaan ‘Agile, Genba dan Entrepreneurial’ (AGE), kami telah melaksanakan struktur kos yang dipertingkatkan melalui pengurusan organisasi cekap yang dijangka akan menyumbang ke arah keuntungan lebih mampan.

 

“Dalam meneruskan perjalanan kami untuk menjadi positif alam semula jadi, kami dapat menyepadukan tiga teras kelestarian Aeon iaitu Manusia, Planet dan Keamanan ke dalam aktiviti-aktiviti utama perniagaan kami bagi mewujudkan Zon Kehidupan Aeon (Aeon Living Zone) yang menggabungkan Luar Talian dengan Dalam Talian (OMO) secara bersepadu, yang akan dipamerkan di Aeon Mall Alpha Angle pada April tahun ini,” ujari Shafie.

 

Seiring dengan inisiatif kelestarian untuk negara Aeon Sayap Bagimu, Syarikat terus menunjukkan komitmennya dalam memperjuangkan pelbagai inisiatif di bawah tiga teras kelestarian utama.


 

AEON

 


Bagi teras Manusia, syarikat telah melaksanakan kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan yang berkuat kuasa 1 Januari 2022, iaitu lebih awal daripada garis masa yang disyorkan oleh Kerajaan.

 

Ini menggambarkan komitmen Aeon dalam mengutamakan kebajikan para pekerjanya.

 

Sementara itu, bagi teras Planet, Aeon Mall Taman Maluri akan memulakan penggunaan tenaga panel solar pada bulan Mac ini manakala Aeon Mall Alpha Angle pula disasarkan pada April bersama dengan beberapa projek lain yang dirancang untuk tahun ini.

 

Selain itu, di bawah teras Keamanan, Syarikat juga berhasrat untuk menyepadukan konsep Inclusive, Digital and Experiential @ Aeon (I.D.E.A.) di Aeon Mall Alpha Angle dengan menawarkan dimensi pengalaman membeli-belah yang berbeza ditambah dengan inisiatif kelestarian seperti ‘vertical farming’, kitar semula, pengurusan ‘e-waste’, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan banyak lagi. – DagangNews.com