Aeon Credit guna teknologi AI kurangkan pelanggan berisiko tinggi | DagangNews Skip to main content

Aeon Credit guna teknologi AI kurangkan pelanggan berisiko tinggi

(Dari kiri) Ketua Pegawai Kewangan Aeon Kredit, Lee Siew Tee; Pengerusi Aeon Credit, Ng Eng Kiat dan Pengarah Urusan AEON Credit, Daisuke Maeda menghadiri mesyuarat agung tahunan ke-26 kumpulan itu hari ini.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Aeon Credit Service (M) Bhd memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengurangkan segmen pelanggan berisiko tinggi kepada kira-kira 20% daripada 30% pada masa ini.

 

Syarikat kewangan pengguna itu berkata pelanggan berisiko tinggi termasuk mereka yang mempunyai skor kredit lebih rendah, kebanyakannya daripada golongan muda dan berpendapatan rendah.

 

Pengarah Urusan Aeon Kredit, Daisuke Maeda berkata kumpulan itu telah berhasrat menggunakan inisiatif AI dalam meningkatkan kualiti asetnya.

 

"Kami melancarkan ‘digital onboarding’ untuk kelulusan bersyarat segera, yang disokong oleh rumusan e-KYC (elektronik kenal pelanggan anda) dan model pemarkahan bagi memperoleh pelanggan dengan skor bagus secara strategik," kata Maeda pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-26 hari ini.

 

Menurut beliau, Aeon Credit telah bekerjasama dengan Global Al Innovations Laboratory Co Ltd (Gailabo) yang berpangkalan di Jepun, di mana syarikat itu menawarkan perkhidmatan pemarkahan kredit berasaskan Al untuk Aeon Credit bagi mengoptimumkan dan menambah baik proses permohonan kepada pemohon berkelayakan.

 

“Ini adalah untuk menambah baik nisbah kelulusan kami serta mengguna pakai pendekatan pengumpulan berasaskan risiko, yang memberi tumpuan kepada pelanggan berisiko tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan prestasi koleksi kami,” katanya.

 

Aeon Credit telah memperuntukkan sehingga RM3 juta daripada perbelanjaan operasi tahun ini untuk perkhidmatan pemarkahan kredit berasaskan Al itu.

 

Ketua Pegawai Kewangan Aeon Kredit, Lee Siew Tee berkata keputusan tersebut adalah bagi meningkatkan produktiviti kumpulan dalam jangka masa panjang, terutamanya dalam persekitaran inflasi yang lebih tinggi.

 

“Kami akan meneliti dasar kredit kami dan menyemak dengan sewajarnya. Selain mengurangkan pelanggan berisiko tinggi, kami juga mahu meningkatkan skor kredit tinggi (segmen pelanggan) untuk mengimbangi portfolio kami,” katanya.

 

Tambahnya, kumpulan itu merancang untuk memberi tumpuan kepada menerima lebih ramai pelanggan dengan skor kredit yang baik dalam jangka masa panjang.

Saham Aeon Credit hari ini ditutup pada RM11.36, naik 10 sen atau 0.9% dengan permodalan pasarannya bernilai RM2.9 bilion. - DagangNews.com