Untung bersih 1QFY25 Hibiscus Petroleum susut 51% kesan harga jualan rendah, pengukuhan ringgit | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 1QFY25 Hibiscus Petroleum susut 51% kesan harga jualan rendah, pengukuhan ringgit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Nov - Untung bersih Hibiscus Petroleum Bhd bagi suku pertama berakhir 30 September 2024 (1QFY25) menyusut 51% kesan penutupan dirancang terhadap empat asetnya, harga minyak dan gas lebih rendah serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, keuntungan bersih bagi suku itu susut di bawah paras RM100 juta kepada RM75.6 juta daripada RM154.3 juta setahun sebelumnya.

 

Pendapatan sesaham lebih rendah pada 9.54 sen untuk 1QFY25 berbanding 19.17 sen untuk 1QFY2024

 

Hasil suku tahunan juga susut 36.1% kepada RM477.4 juta berbanding RM746.62 juta setahun sebelumnya, berikutan kumpulan itu menjual lebih minyak, kondensat dan volum gas 1.67 juta tong bersamaan minyak (boe), turun 17.9% daripada 2.03 juta boe setahun lebih awal.

 

Harga jualan purata yang dicapai juga lebih rendah pada AS$83.55 (RM373.47) setong daripada AS$96.94 setong dalam tempoh yang sama.

 

Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), sama dengan tahun sebelumnya.

 

Tarikh pembayaran dividen ialah 22 Januari 2025.

 

Pada suku dalam tinjauan, tiada penjualan minyak mentah daripada aset Kinabalu, dan aset Semenanjung Malaysia, Sabah Utara dan United Kingdom menyaksikan kedua-dua volum minyak mentah yang lebih rendah dan harga jualan dicapai.

 

Dari segi pengeluaran, Hibiscus menghasilkan 16,707 boe minyak mentah, kondensat dan produk gas dalam 1QFY25, 16.9% lebih rendah daripada 20,117 boe yang dihasilkan pada 1QFY24. - DagangNews.com