Aeon Credit lancar pembiayaan motosikal elektrik pertama bantu pemilikan EV dua roda | DagangNews Skip to main content

Aeon Credit lancar pembiayaan motosikal elektrik pertama bantu pemilikan EV dua roda

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - Aeon Credit Service (M) Berhad memperkenalkan pembiayaan motosikal elektrik pertamanya untuk membantu pemilikan kenderaan elektrik (EV), yang kian mendapat lonjakan permintaan.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Aeon Credit berkata pembiayaan tersebut melengkapkan i-Skim Sewa Beli sedia ada, selaras dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian tiga tahun dan komitmen tidak berbelah bahagi syarikat untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2030.

 

Menurut Aeon Credit, produk pembiayaan hijau inovatif berkenaan boleh diakses semua rakyat Malaysia berumur antara 18 dan 65 tahun dengan fleksibiliti untuk menyesuaikan pelan pembayaran balik, dengan tempoh yang dilanjutkan sehingga 84 bulan, sekali gus memenuhi pelbagai pilihan kewangan pelanggan.

 

 

aeon

 

 

Tambahnya, pembiayaan tersebut kini tersedia untuk motosikal elektrik Blueshark, sementara kumpulan itu sedang berusaha secara proaktif untuk memperluaskan liputannya untuk merangkumi jenama motosikal elektrik yang lebih luas bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

 

Pengarah Urusan Aeon Credit, Daisuke Maeda menekankan kepentingan inisiatif tersebut ini, yang merupakan langkah penting ke arah matlamat kelestarian kumpulan.

 

Jelasnya, ia membolehkan kumpulan itu mempergiatkan peranan proaktif dalam menyumbang kepada sasaran neutraliti karbon negara yang telah ditetapkan.

 

"Dalam memahami keperluan pelanggan kami yang berubah-ubah dan menyediakan pilihan pembiayaan ini dengan objektif keterangkuman kewangan, kami telah menggalakkan penggunaan rumusan mobiliti rendah karbon untuk pelanggan yang menjurus kepada gaya hidup lestari mereka dengan lancar," ujar beliau.

 

 

Daisuke Maeda
Daisuke Maeda

 

 

Daisuke berkata, pembiayaan baharu ini sejajar dengan Belanjawan 2024 yang bermatlamat untuk mempromosi pemilikan motosikal elektrik menerusi pengenalan Skim Insentif Penggunaan Motosikal Elektrik melalui insentif rebat tunai. 

 

Memandangkan pemilikan untuk Motosikal Elektrik masih di peringkat permulaan di Malaysia, Daisuke menjangkakan skim tersebut bakal merangsang pemilikan dari sudut kebolehcapaian, sejajar dengan matlamat negara untuk meningkatkan bahagian kenderaan elektrik dua roda  di jalan raya kepada 80% sebanyak 2050.

 

“Dengan komitmen tegas kami ke arah memasukkan amalan lestari ke dalam penawaran dan operasi teras kami, Aeon Credit komited dengan teguh memainkan peranan pentingnya dalam matlamat kelestarian negara dan objektif pelepasan sifar bersih," katanya.  - DagangNews.com