AEON, Grab Malaysia jalin kerjasama perkhidmatan GrabPay | DagangNews Skip to main content

AEON, Grab Malaysia jalin kerjasama perkhidmatan GrabPay

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - AEON CO. (M) BHD. (AEON) menjalin kerjasama dengan Grab Malaysia bagi penggunaan perkhidmatan e-dompet, GrabPay sebagai kaedah pembayaran. 

 

AEON memaklumkan, ini sejajar dengan usaha syarikat menyediakan pengalaman membeli-belah serba canggih menggunakan kaedah digital dan sesuai dengan keperluan pelanggan hari ini. 

 

GrabPay merupakan antara e-dompet utama di Malaysia yang menawarkan kaedah paling mudah, selamat dan bermanfaat ketika membuat bayaran keperluan harian seperti barangan runcit, petrol, bil, makanan, minuman, tambang kenderaan, pembelian dalam talian, isian semula prabayar dan pelbagai urusan lain.

 

Ketua Pegawai Kewangan AEON, Dr. Grace Lee berkata, pihaknya bersyukur dapat menjalin kerjasama dengan Grab Malaysia bagi menawarkan GrabPay sebagai salah satu kaedah pembayaran. 

 

"Sudah tentu ia memberi kemudahan lebih kepada pelanggan AEON, di samping membolehkan mereka menikmati penjimatan setiap kali berbelanja. Kerjasama ini boleh menjangkau lebih ramai lagi pelanggan yang tangkas dengan teknologi dan menggemari kaedah beli-belah digital yang kurang interaksi fizikal.

 

 

aeon

 

 

“Kami sentiasa berusaha menambah nilai kepada perkhidmatan kami. Arah tuju kami jelas untuk maju ke hadapan dan saban masa berusaha gigih bagi mempertingkat pertumbuhan ekosistem peruncitan baharu, berasaskan permintaan dan cenderung menangani dinamik pasaran, corak kepenggunaan dan tabiat pengguna. 

 

"Teknologi, pendigitalan dan inovasi adalah ciri perubahan untuk AEON dalam mendorong perjalanan transformasi digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam perkembangan sama, Ketua GrabPay Grab Malaysia, Priyanka Madan berkata, pihaknya percaya dalam pembentukan kerjasama sinergi untuk membolehkan warga Malaysia menikmati akses selesa bagi memenuhi keperluan harian seperti barangan runcit dan produk keperluan rumah. 

 

"Kami berbesar hati AEON memberi kepercayaan kepada kami untuk membina ekosistem pembayaran bebas sentuh dan menyokong perjalanan transformasi digital mereka. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk memanfaatkan solusi inovatif lagi inklusif kami bagi memenuhi keperluan kewangan digital para pengguna. 

aeon

"Ciri rangsangan seperti GrabRewards sudah tentu menggalakkan pelanggan AEON menikmati penjimatan demi penjimatan bagi setiap transaksi, lebih-lebih lagi ia dilindungi dengan pelbagai lapisan keselamatan," katanya.

 

Sempena sambutan tahun baharu dan perayaan tahun baharu Cina, pelanggan AEON yang berbelanja menggunakan GrabPay akan menikmati rebat RM8 bagi pembelian minimum RM88. 

 

Kempen ini bermula dari 15 Januari sehingga 28 Februari depan di cawangan AEON Store, AEON MaxValu Prime, AEON Wellness dan AEON BiG terpilih. 

 

Kerjasama AEON dan GrabPay sejajar dengan usaha AEON mengemudi usaha Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggalakkan kesinambungan, inklusiviti dan pertumbuhan ekonomi lestari serta menyediakan pekerjaan sesuai untuk semua. - DagangNews.com