Aeon sasar tambah 8 cawangan Daiso, Wellness pada 2024 – TA Securities | DagangNews Skip to main content

Aeon sasar tambah 8 cawangan Daiso, Wellness pada 2024 – TA Securities

Gambar ihsan FB Aeon Wellness
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - Aeon Co (M) Bhd kini dalam proses mengenal pasti dan mendapatkan lokasi baharu dengan rancangan untuk membuka enam hingga lapan cawangan Daiso and Wellness pada 2024, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata syarikat itu sedang menyesuaikan semula pengembangan kedai khususnya secara strategik, terutamanya dengan tumpuan untuk memupuk pasaran premium.

 

Setakat ini, syarikat itu mengendalikan 28 pusat membeli-belah Aeon, 34 kedai Aeon, lapan kedai Maxvalu, 62 kedai Wellness dan 43 kedai Daiso.

 

“Baru-baru ini, Aeon telah menjajarkan semula fokusnya dalam Wellness, beralih daripada kedai penjagaan diri kepada rangkaian kesihatan berorientasikan gaya hidup yang menampilkan pelbagai produk import Jepun.

 

“Di samping itu, syarikat tersebut juga mencatat pertumbuhan trafik pengunjung yang ketara di Daiso selepas pendemik dan bersedia untuk melancarkan kedai baharu di USJ pada 10 Oktober 2023,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TA Securities menjangkakan syarikat itu mendapat manfaat daripada kemasukan pelancong Singapura sebagai pemangkin baharu.

 

Memetik data Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), firma itu berkata kira-kira 7.8 juta pelancong Singapura dijangka melawat Malaysia menjelang akhir tahun ini, selepas ia melepasi penanda aras 4.5 juta ketibaan pelancong setakat Julai 2023.

 

“Berlatarkan pengukuhan dolar Singapura berbanding ringgit, dijangka pelancong Singapura akan menunjukkan minat kukuh mengunjungi kedai-kedai khusus Wellness dan Daiso dengan lebih kerap untuk membeli barangan import Jepun.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan bahawa kedai khusus baharu yang akan dibuka mulai 2024 dan terletak secara strategik di Johor, bertujuan untuk memanfaatkan pertumbuhan pengunjung Singapura yang semakin meningkat, adalah sejajar dengan strategi perolehan mereka yang tertumpu kepada penawaran produk Jepun,” tambahnya.

 

Bagaimanapun, TA Securities mengurangkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 9.4% selepas mengambil kira sumbangan yang lebih rendah daripada pusat beli-belah Aeon Melaka (Ayer Keroh) dan Aeon Cheras Selatan, yang ditutup sehingga lima bulan berikutan kerja pengubahsuaian yang disasarkan siap menjelang akhir Oktober 2023 dan mula beroperasi untuk jualan Krismas dan Tahun Baharu Cina.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM1.57 sesaham.

 

Pada pukul 4:31 petang ini, saham Aeon tidak berubah pada RM1.09 dengan permodalan pasaran bernilai RM1.53 bilion.  - DagangNews.com