AEON tawar menu istimewa menerusi inisiatif Dapur Selebriti VS Dapur CEO | DagangNews Skip to main content

AEON tawar menu istimewa menerusi inisiatif Dapur Selebriti VS Dapur CEO

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Group Malaysia, Shafie Shamsuddin
 

 


KUALA LUMPUR 23 Mei – AEON Co. (M) Bhd. (AEON) telah melancarkan inisiatif Dapur Selebriti vs Dapur CEO dengan menawarkan pelbagai hidangan menu istimewa di semua cawangan AEON, AEON BiG dan MaxValu di seluruh negara.

 

Menerusi inisiatif ini, orang ramai boleh membeli sambil menderma dalam usaha AEON bagi merapatkan jurang pembelajaran digital dalam kalangan pelajar yang kurang berkemampuan.

 

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Group Malaysia, Shafie Shamsuddin berkata, sejak penularan wabak COVID-19, pelbagai dugaan dan cabaran di dalam kehidupan seharian negara ini.

 

Dalam masa yang sama ujarnya, dapat dilihat penyesuaian dalam penggunaan peralatan teknologi terutamanya di dalam sesi pembelajaran anak-anak sebagai norma baharu.

 

"Menerusi inisiatif Dapur Selebriti vs Dapur CEO, AEON mensasarkan pembelian 2,000 unit tablet untuk disumbangkan kepada pelajar Tingkatan 5 bagi sesi 2021 yang layak. Objektif inisiatif ini dilaksanakan bertujuan untuk menyediakan kemudahan digital kepada pelajar yang mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

 

“Berdasarkan kepada kajian Kementerian Pendidikan Malaysia, sebanyak 37% pelajar tidak mempunyai sebarang peranti elektronik untuk mengikuti sesi PdPR.

 

Oleh itu, AEON merasakan perlu untuk turut sama membantu pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini dengan menyediakan keperluan digital untuk mereka belajar di rumah”, ujar beliau dalam kenyataan di sini.

 

Inisiatif Dapur Selebriti vs Dapur CEO yang bermula sejak 12 April yang lalu, melibatkan selebriti terkenal tanah air di mana mereka bersaing untuk menjual hidangan menu masing-masing.

 

Setiap RM10 produk yang terjual, sumbangan RM1 akan disalurkan ke Tabung Yayasan AEON Malaysia. Tarikh inisiatif ini berlangsung telah dilanjutkan sehingga 31 Julai 2021 bagi memberi peluang kepada orang ramai terus berkongsi rezeki untuk kelestarian komuniti.

 

AEON mensasarkan RM1 juta dana dapat dikumpulkan melalui inisiatif ini dalam memastikan pembelian tablet untuk pelajar yang memerlukan tercapai.

 

Orang ramai boleh menikmati hidangan istimewa dari Dapur Selebriti seperti Rendang Tok Kat oleh Datuk Khadijah Ibrahim, Ayam Sambado oleh Alif Satar, Ayam Golek Percik Abe Joe oleh Fizo Omar, SR Seafood Berlado oleh Saharul Ridzwan dan Black Chicken Bread oleh Black Hanifah.

 

Selain itu AEON turut menjual hidangan menu istimewa Nasi Berani The Warrior (ayam dan kambing) dari Dapur CEO dengan harga bermula dari RM8.33 setiap satu pek. 

 

AEON turut menawarkan pakej korporat kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk memberikan sumbangan dengan membeli produk-produk Dapur Selebriti vs Dapur CEO dengan kadar istimewa, termasuk kos penghantaran percuma.

 

Ia adalah sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan kepada inisiatif ini dalam sama-sama membantu menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak yang merupakan generasi penentu masa depan negara dan selaras dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keempat (SDG 4).

 

Pakej Korporat Dapur Selebriti vs Dapur CEO boleh ditempah melalui laman web https://dapurceo.myaeon.com.my/ atau hubungi talian AEON Careline di 1-300-80-AEON (2366). - DagangNews.com