Aeon teruskan momentum pertumbuhan, catat kenaikan hasil 10.5% kepada RM1.1 bilion pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Aeon teruskan momentum pertumbuhan, catat kenaikan hasil 10.5% kepada RM1.1 bilion pada suku pertama

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei - Aeon Co (M) Bhd meneruskan momentum pertumbuhan bagi suku pertama 2023, dengan catatan hasil sebanyak RM1.1 bilion, pertumbuhan 10.5% berbanding suku sama sebanyak RM1 bilion.

 

Syarikat juga berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM62.1 juta bagi suku tersebut, menandakan peningkatan 13.3% daripada PBT suku yang sama sebanyak RM54.8 juta. 

 

Aeon dalam kenyataan berkata, pertumbuhan itu disumbangkan terutamanya oleh peningkatan dalam hasil dan mengoptimumkan margin kasar.

 

Di dalam segmen perniagaan runcit katanya, Aeon merekodkan hasil sebanyak RM941.4 juta, iaitu peningkatan kukuh sebanyak 9.8% berbanding pendapatan suku yang sama sebanyak RM857.4 juta. 

 

"Peningkatan ketara dalam hasil ini boleh dikaitkan dengan situasi perbelanjaan perayaan yang lebih tinggi dan normalisasi aktiviti perniagaan pada suku semasa.

 

"Segmen perkhidmatan pengurusan hartanah juga menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan, dengan hasil sebanyak RM165.4 juta, menampakkan peningkatan sebanyak 14.5% berbanding pendapatan suku yang sama sebanyak RM144.4 juta. 

 

"Pertumbuhan ini didorong oleh kadar penghunian yang lebih baik, sejajar dengan sentimen pengguna yang positif sebagai sebahagian daripada normalisasi perniagaan syarikat yang berterusan," katanya.

 

Menurut Pengarah Urusan Aeon, Keiji Ono, pihaknya melangkah masuk tahun 2023 dengan terus mengekalkan komitmennya untuk menambah nilai kepada pelanggannya. 

 

"Ini kerana para pelanggan adalah teras dalam segala yang kami lakukan. Kami akan meneruskan usaha yang tidak berbelah bahagi untuk mengukuhkan perniagaan utama sambil memacu ke hadapan dengan inisiatif transformasi kami. 

 

"Tahun ini, pendigitalan, inovasi dan kemampanan akan terus menjadi penggerak di sebalik usaha kami untuk mencapai transformasi digital yang mampan," katanya.

 

Beliau berkata, walaupun pacuan ekonomi tempatan dijangka semakin hebat melalui pembukaan semula sempadan antarabangsa dan perjalanan antarabangsa secara berperingkat, pihaknya akui kehadiran tekanan inflasi, ditambah lagi dengan sentimen pengguna domestik yang lebih lemah. 

 

"Namun begitu, syarikat tetap komited untuk memanfaatkan ekosistemnya dengan bekerjasama dengan rakan kongsi penyewa, pembekal dan kumpulan syarikat Aeon untuk mengoptimumkan perbelanjaan pengguna dan meningkatkan nilai aset kami." katanya.

 

Dalam pada itu, pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang ke-38 baru-baru ini, Lembaga Pengarah Aeon mencadangkan dividen akhir sebanyak 4 sen sesaham biasa bagi tahun berakhir 31 Disember 2022, bersamaan dengan RM56.2 juta akan mewakili nisbah pembayaran sebanyak 50.5% daripada keuntungan tahun tersebut. - DagangNews.com