KUALA LUMPUR 14 Mac - Aeon Co. (M) Bhd. (Aeon) meneruskan usahanya memberi kemudahan kepada umat Islam yang ingin melaksanakan ibadah korban tahun ini dengan membawa kembali “Berkat Korban 2022”.
Program ini merupakan satu inisiatif yang memberi peluang kepada umat Islam di Malaysia yang berdepan dengan kesulitan dalam melaksanakan ibadah korban terutamanya ketika negara masih berwaspada dalam berhadapan dengan pandemik COVID-19.
Tahun ini merupakan tahun ketiga Aeon melaksanakan program Berkat Korban yang telah mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak sebelum ini.
Untuk Berkat Korban 2022, Aeon berkolaborasi dengan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia Berhad (Koperasi
GTR) dan Townfarm.
Menurut Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Aeon, Shafie Shamsuddin berkata, atas sambutan menggalakkan yang diterima sebelum ini, pihaknya merasa bertanggungjawab untuk terus memberikan perkhidmatan ini kepada umat Islam.
''Program ini akan memudahkan urusan mereka di mana tempahan daging korban hanya perlu dilakukan melalui panggilan telefon atau pun dalam talian.
“Aeon merupakan cawangan pusat beli belah pertama di Malaysia yang memperkenal program seumpama ini. Kesemua daging korban akan melalui proses SOP yang ketat dan patuh Shariah dalam kita memastikan umat Islam yang mengambil bahagian dapat melakukan ibadah tersebut dengan sempurna,” tambah beliau.
Berkat Korban 2022 akan dilaksanakan di seluruh cawangan Aeon, Aeon BiG dan MaxValu. Program Berkat Korban 2022 menyediakan dua kategori haiwan korban iaitu lembu dan kambing.
Seekor lembu seberat 210kg hingga 250kg akan dibahagi kepada 7 bahagian, harga yang ditetapkan bagi satu bahagian adalah sebanyak RM880. Manakala harga seekor kambing seberat 28kg hingga 30kg adalah sebanyak RM1,200.
Harga ini adalah sama bagi mereka yang ingin menyumbangkan bahagian korban mereka kepada golongan Asnaf. Aeon menyasarkan sebanyak 1,000 ekor lembu dan 200 ekor kambing untuk program ini.
Aeon turut memperkenalkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai ikon Berkat Korban 2022.
“Saya merasa bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Aeon untuk program Berkat Korban 2022. Selain daripada memperkukuhkan ukhwah dan silaturahim setiap golongan masyarakat serta dapat melaksanakan ibadah untuk diri dan diinfakkan kepada golongan yang memerlukan, usaha ini dapat membantu penjanaan ekonomi para penternak tempatan serta peladang-peladang kecil.
''Alhamdulillah, setiap kerja penyembelihan dan pemprosesan juga dilakukan di dalam suasana terkawal untuk memastikan hasil sembelihan yang patuh shariah, bersih serta berkualiti tinggi selari dengan halalan toyyiban,” kata beliau. - DagangNews.com