Aerotrain KLIA dijangka kembali beroperasi pada suku pertama 2025 - Kementerian Pengangkutan | DagangNews Skip to main content

Aerotrain KLIA dijangka kembali beroperasi pada suku pertama 2025 - Kementerian Pengangkutan

KUALA LUMPUR 17 Julai - Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka kembali beroperasi semula pada suku pertama 2025, kata Kementerian Pengangkutan.

 

Katanya, langkah itu adalah selaras dengan pelan penggantian Aerotrain di Terminal 1, KLIA yang dijadual siap sepenuhnya pada 31 Januari 2025.

 

"Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) amat komited untuk memastikan pelan penggantian Aerotrain ini berjalan lancar mengikut garis masa ditetapkan," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang parlimen, lapor Bernama.

 

 

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta perincian status projek system penggantian aerotrain KLIA, termasuk perjanjian baharu dimeterai oleh MAHB serta anggaran kos projek berkenaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aerotrain KLIA dijangka siap sepenuhnya pada 31 Januari 2025, dua bulan lebih awal - MAHB

 

Mengulas perjanjian baharu itu, Kementerian Pengangkutan berkata, MAHB telah memeterai surat perjanjian dengan Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd, IJM Construction Sdn Bhd dan usaha sama bersama Pestech Technology Sdn Bhd (IJMCPestech JV) pada 12 Januari 2024 dengan jangkaan projek berkenaan siap pada 31 Mac 2024.

 

Bagi menyegerakan garis masa pelaksanaan penggantian aerotrain itu, MAHB juga telah menandatangani suatu perjanjian baharu bersama pihak Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd pada 14 Jun 2024, bagi memastikan projek ini dapat disiapkan sepenuhnya pada tarikh berkenaan, kata Kementerian Pengangkutan.

 

Terdahulu, Alstom dan Pestech merupakan kontraktor asal untuk projek penggantian Aerotrain. 

 

MAHB telah menamatkan Pestech daripada kontrak pada Ogos tahun lepas, memetik "tidak berprestasi, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan untuk menyampaikan projek dalam tarikh akhir yang diperlukan".

 

Projek penggantian aerotrain selama tiga tahun itu ada dua tarikh akhir pada asalnya, yang pertama ialah Julai 2024 untuk yang pertama daripada dua aerotrain yang akan beroperasi, diikuti oleh yang kedua pada Mac 2025 untuk siap sepenuhnya, dengan kedua-dua perkhidmatan aerotrain menjangkau kira-kira 1.5km. 

 

Aerotrain berusia 25 tahun itu digantung pada Mac tahun lalu, selepas kerosakan besar yang mengakibatkan 114 penumpang terkandas di tengah jalan.

 

Ini berlaku pada pertengahan program penggantian, yang telah diberikan kepada Pestech pada Disember 2021, dengan Alstom membekalkan aerotrain.- DagangNews.com