Affin Bank dijangka terus berdepan pemampatan NIM, Kenanga Research turunkan unjuran pendapatan FY23-24 sebanyak 12% dan 7% | DagangNews Skip to main content

Affin Bank dijangka terus berdepan pemampatan NIM, Kenanga Research turunkan unjuran pendapatan FY23-24 sebanyak 12% dan 7%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Affin Bank Berhad dijangka terus berdepan prospek margin faedah bersih (NIM) yang lebih perlahan, kata Kenanga Research yang telah menyemak turun unjuran pendapatan bank berkenaan bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) sebanyak 12% dan 7%.

 

Firma penyelidikan itu berkata pemampatan NIM kumpulan yang berterusan pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) telah menjejas unjuran pendapatan setahun penuhnya.

 

Tambahnya, tempoh suku keempat lazimnya lebih berdaya saing dalam landskap harga umum dan ini mungkin menimbulkan cabaran selanjutnya kepada kumpulan.

 

Firma itu berkata bank tersebut percaya sasaran NIM sebelumnya sebanyak 1.86% tidak lagi dapat dipenuhi, justeru ia mengemas kini kepada julat sasaran 1.45% hingga 1.50%.

 

Oleh kerana ini akan menjejas pendapatannya, firma tersebut berkata kumpulan itu telah melebarkan sasaran nisbah kos pendapatan (CIR) kepada 65% (daripada 60%) yang juga menampung gaji yang lebih tinggi daripada pelarasan kolektif terdahulu.

 

“Sebaliknya, pengekalan sasaran kos kredit setahun penuh kumpulan itu pada 30 mata asas membayangkan bahawa suku terakhirnya boleh kekal berat dengan tekanan inflasi tidak terjangka melanda akaun bermasalah.

 

“Secara keseluruhannya, ini mencetuskan sasaran keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah pada RM600 juta, manakala semua metrik lain kekal tidak berubah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dari segi positif pula, Kenanga Research berkata kumpulan itu menunjukkan Sarawak sebagai kawasan pertumbuhan baharu berikutan sokongan dan minat daripada kerajaan negeri, yang membentuk 4% atau RM2.8 bilion daripada jumlah buku pinjamannya setakat 3QFY23.

 

Firma tersebut mengulas prospek NIM bank tersebut susulan keputusan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) di bawah jangkaan dengan merangkumi hanya 68% daripada ramalan setahun penuh memandangkan firma itu telah memandang rendah pemampatan berpanjangan NIM pada 3QFY23.

 

Sebaliknya, keputusan adalah dalam jangkaan pasaran pada 72% daripada anggaran konsensus setahun penuh.

 

Selain unjuran pendapatan, Kenanga Research turut menurunkan input pulangan atas ekuiti (ROE) jangka panjang kepada 6% berbanding 6.5% sebelumnya, dengan taraf saranan diturunkan kepada ‘market perform’ dan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.90 daripada RM2.20.

 

Setakat pukul 10:06 pagi ini, saham Affin Bank turun 1 sena atau 0.5% kepada RM2 dengan permodalan pasaran bernilai RM4.7 bilion.  - DagangNews.com