Affin Bank, Generali bekerjasama dalam perniagaan insurans | DagangNews Skip to main content

Affin Bank, Generali bekerjasama dalam perniagaan insurans

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Affin Bank Bhd. telah menyelesaikan pelupusan sebahagian pegangan ekuitinya dalam AXA Affin Life Insurance Bhd. (AALI) dan AXA Affin General Insurance Bhd. (AAGI) kepada Generali Asia N.V. 

 

Dalam kenyataan hari ini, Affin Bank berkata, pelupusan tersebut berserta dengan penjualan keseluruhan pegangan ekuiti yang sebelum ini dimiliki oleh AXA dalam AALI dan AAGI menyaksikan Generali kini menjadi rakan usaha sama terkini Affin Bank dalam operasi perniagaan insurans.

 

Susulan pelupusan yang telah dimuktamadkan itu, Affin Bank dan Generali bercadang untuk menggabungkan perniagaan milik MPI Generali Insurance Bhd. dan AAGI.

 

Menerusi penggabungan tersebut, Affin Bank akan memegang ekuiti sebanyak 30%  dalam kedua-dua AAGI dan AALI. 

 

Entiti perniagaan insurans am yang digabungkan ini bakal menjadi syarikat penyedia insurans am kedua terbesar dengan Premium Bertulis Kasar atau Gross Written Premium lebih daripada RM600.0 juta bagi 1Q2023 sahaja. 

 

Affin Bank pada hari ini juga turut menandatangani satu perjanjian penyediaan bankasurans selama 15 tahun dengan AAGI/ALI bagi menyediakan produk insurans am/insurans hayat menerusi saluran atau platform Affin Bank di Malaysia. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Generali, salah satu penyedia insurans terbesar di dunia, untuk mengembangkan keupayaan tawaran insuransnya di Malaysia dan membina satu platform pengurusan harta dan perbankan yang lebih menyeluruh bagi pelanggan korporat dan runcit. 

 

"Kerjasama bankasurans dengan Generali merupakan manifestasi komitmen Affin Bank ke arah menyediakan penyelesaian kewangan yang holistik kepada para pelanggan kami di samping menambahbaik pengalaman pelanggan secara keseluruhannya,” katanya.

 

Sementara itu, Pegawai Serantau, Generali International Asia, Rob Leonardi berkata, kerjasama dengan Affin Bank membolehkannya untuk mengukuhkan lagi kedudukan syarikat di Malaysia yang merupakan satu pasaran berpotensi tinggi bagi Generali di Asia. 

 

"Ini merupakan peluang unik bagi menggabungkan sumber dan kakitangan kedua-dua syarikat dalam membangunkan satu jenama bersama yang bakal memiliki skala serta keupayaan untuk bersaing dengan lebih baik dan mencatatkan keuntungan dalam pasaran insurans Malaysia, di samping mencipta nilai buat para pelanggan kami," katanya. - DagangNews.com