Affin manfaatkan program GoGreen Plus DHL Express perkukuh usaha kurangkan pelepasan karbon | DagangNews Skip to main content

Affin manfaatkan program GoGreen Plus DHL Express perkukuh usaha kurangkan pelepasan karbon

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Affin Group telah menyertai program GoGreen Plus DHL Express untuk mengurangkan pelepasan karbon, mengukuhkan komitmennya terhadap tanggungjawab alam sekitar.

 

Perkhidmatan penghantaran udara menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF) itu menyokong sasaran kumpulan perbankan itu untuk mengurangkan sehingga 70% pelepasan karbon bagi penghantaran antarabangsa.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, komitmen kumpulan memajukan operasi perniagaan ke arah amalan lebih hijau itu menjadikan ia bank Malaysia pertama menyertai perkhidmatan GoGreen Plus untuk penghantaran yang mampan.

 

 

Datuk Wan Razly Abdullah
Datuk Wan Razly Abdullah

 

 

“Tenaga alternatif, seperti SAF, berfungsi sebagai usaha penyahkarbonan utama dan menyediakan laluan bagi Malaysia untuk mempercepatkan kemajuan dalam cita-cita sifar bersih kami. 

 

“Inisiatif ini menampilkan peranan kami sebagai pemangkin kepada perubahan dalam melaksanakan amalan neutral iklim dalam sektor perkhidmatan kewangan,” ujar beliau dalam satu kenyataan bersama hari ini.

 

Dilancarkan pada 2023, GoGreen Plus membolehkan pelanggan memasukkan pelepasan Skop 3 dengan berkesan dalam rantaian bekalan mereka dengan memilih pelaburan SAF, yang merupakan satu-satunya rumusan yang boleh diskala dalam jangka terdekat, memandangkan ia sahaja pilihan untuk penerbangan jarak jauh.

 

Menurut kenyataan tersebut, langganan Affin kepada GoGreen Plus dibina berdasarkan pelan transformasi kumpulan, Pelan Affin 2025 (A25) dengan matlamat mencapai 15% daripada jumlah portfolionya dalam pembiayaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjelang akhir FY25 dan kini berada di landasan yang betul selepas mencapai 8.6% pada 2023.

 

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia, Julian Neo berkata perniagaan yang memanfaatkan SAF boleh membantu untuk memangkin penggunaan lebih meluas teknologi ini dan potensi transformatifnya untuk membentuk masa depan lebih mampan.

 

 

Julian Neo
Julian Neo

 

 

Dengan kira-kira 90% jejak karbon DHL datang daripada rangkaian udaranya, rumusan pengangkutan udara yang mampan adalah penting untuk mewujudkan operasi logistik lebih hijau. 

 

Diperbuat daripada sisa boleh diperbaharui dan sisa bahan mentah dari sumber mampan, SAF juga boleh mengurangkan pelepasan kitaran hayat bahan api penerbangan biasa sehingga 80%. - DagangNews.com