KUALA LUMPUR 9 Mei - Affin Bank Bhd telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MoF) pada 6 Mei 2022 untuk melupuskan 21% kepentingan ekuitinya dalam AXA Affin Life Insurance Bhd (AALI) dan 2.95% kepentingan dalam AXA Affin General Insurance Bhd (AAGI) kepada Generali Asia N.V.
Pada masa ini, Affin memiliki 51% dalam AALI dan 49.95% dalam AAGI.
Affin berkata, ia akan memeterai perjanjian penjualan saham dengan Generali Asia untuk pelupusan AALI dan AAGI tertakluk kepada kepuasan baki syarat menandatangani perjanjian di bawah perjanjian pelaksanaan, dan pengumuman lanjut akan dibuat sewajarnya.
"Kami melihat peluang pertumbuhan sinergistik untuk AAGI dan AALI dengan usaha sama dengan Generali ini dan keupayaan untuk meningkatkan penyelesaian kewangan dan penawaran produk kami kepada pelanggan kami melalui perkongsian bankasurans masa depan dengan Generali," kata presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Affin Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 22 Jun 2021, Affin dan Generali menandatangani perjanjian pelaksanaan untuk pelupusan AALI dan AAGI.
Di samping itu, Affin juga telah bersetuju untuk perniagaan insurans am AAGI dan MPI Generali Insurans Bhd (MPIG) digabungkan di bawah AAGI, di mana AAGI akan memperoleh aset dan liabiliti tertentu MPIG melalui pemindahan perniagaan untuk mewujudkan syarikat yang diperbesarkan, tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).
Ia berkata sebuah syarikat tempatan baharu (Newco) akan diperbadankan untuk memegang semua saham dalam AALI dan AAGI (MergeCo).
Affin pula akan memegang 30% kepentingan ekuiti dalam Newco, dengan Generali memegang baki 70% kepentingan ekuiti dalam Newco, tambahnya.
"Oleh itu, Affin dikehendaki oleh BNM untuk membuat penyerahan yang diperlukan untuk pegangan sahamnya dalam Newco kepada BNM dalam tempoh satu bulan mulai 6 Mei 2022," kata Affin. - DagangNews.com