Agenda transformasi digital, langkah-langkah konsolidasi dan pemulihan ekonomi fokus RMK-12 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Agenda transformasi digital, langkah-langkah konsolidasi dan pemulihan ekonomi fokus RMK-12 - Penganalisis

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR, 24 Sept. - Rancangan Malaysia Ke-12 dijangka akan menetapkan strategi penyatuan fiskal negara bagi mengimbangkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi berterusan disamping menangani kesan negatif pandemik COVID-19.

Menurut nota kajian Public Investment Bank, RMK-12 yang akan dibentangkan kelak diharap dapat meletakkan rencana bagi pemulihan sektor-sektor utama seperti perkhidmatan dan pelaburan swasta.

"RMK-12 juga dilihat akan mendorong inisiatif transformasi digital yang lebih besar terutamanya ketika pertumbuhan produktiviti tenaga kerja dilihat agak lembap sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ini penting untuk menarik pelabur kembali.

"Kerajaan juga diharapkan dapat mempercepat  Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)  sesuai dengan komitmennya di bawah Agenda Pembangunan Lestari 2030.

"Adalah penting bagi kerajaan untuk memberikan komitmen ini sebagai dorongan kuat setelah inisiatif-inisiatif ini terjejas ekoran COVID-19," katanya di sini hari ini.

Menurut ia lagi, antara topik-topik yang dijangka menjadi tema RMK-12 termasuklah mempercepat agenda transformasi digital, langkah-langkah konsolidasi, pemulihan dan penentukuran semula ekonomi.


"Walaupun dengan perancangan terbaik, kerajaan masih harus waspada terhadap perkara-perkara yang boleh muncul tanpa diduga dan mempengaruhi pelan yang telah dirancang," katanya.

"Perang Perdagangan AS-China, pandemik COVID-19 adalah antara kejadian yang menunjukkan bahawa krisis tidak dapat dielakkan dan harus ada pelan sokongan untuk kejadian yang tidak dijangka seperti ini," katanya. -DagangNews.com