Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob
NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - Agensi dan jabatan kerajaan di peringat negeri serta daerah perlu memainkan peranan lebih progresif dalam memastikan hasrat untuk menyediakan sehingga 600,000 peluang pekerjaan melalui Bajet 2022 dapat dicapai.
Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, antara agensi yang perlu memainkan peranan ialah Jabatan Tenaga Rakyat dan Jabatan Buruh.
"Peranan mereka tidak boleh berjalan seperti biasa, sebaliknya untuk mencapai matlamat kerajaan itu, kena lebih interaktif dengan industri.
"Ia menjadi cabaran buat Kementerian Sumber Manusia yang mana agensi di bawahnya perlu tahu permintaan daripada industri dan apa yang boleh ditawarkan pekerja," katanya melalui Agenda Awani 'Bajet 2022 Persediaan Beralih ke Fasa Endemik'.
Pada sesi pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyasarkan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM4.8 bilion akan disediakan pada tahun depan menerusi inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja).
Ia bagi membantu 750,000 rakyat yang masih menganggur akibat pandemik COVID-19.
Sulaiman berkata, pihak syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga perlu berganding bahu bagi menjayakan misi kerajaan itu.
Ini kerana katanya, aspek penyediaan pekerjaan adalah penting pada tempoh pandemik ini kerana ia berupaya membantu ramai isi rumah terjejas termasuk mereka yang mengalami masalah kesihatan mental kerana kehilangan punca pendapatan sebelum ini.
Dalam aspek pelaburan pula, Sulaiman berkata dalam menuju ke arah endemik adalah penting Malaysia untuk menambah baik soal kepantasan dalam membuat keputusan sejajar kehendak pelabur kerana berdepan persaingan dari negara jiran.
"Dari segi infrastruktur semua kita sudah ada namun dari aspek ketangkasan membuat keputusan perlu diperbaiki.
"Pihak yang berurusan dengan pelabur harus mempunyai mandat sepenuhnya untuk membuat keputusan termasuk memenuhi kehendak pelabur khususnya dalam aspek pemberian insentif," katanya. - DagangNews.com