Agensi pelancongan tarik nafas lega - Papuh | DagangNews Skip to main content

Agensi pelancongan tarik nafas lega - Papuh

Agensi pelancongan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac. - Agensi pelancongan di negara ini mampu menarik nafas lega setelah mendengar pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

 

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, dengan keprihatinan kerajaan itu, ianya dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh ahli-ahli Papuh sepanjang pandemik COVID-19.

 

"Dengan insentif pemulihan ini, Papuh yakin ini akan dapat membantu ahli-ahli bangun kembali setelah lumpuh akibat Pandemik COVID-19.

 

"Dengan perlepasan khas cukai pendapatan individu sebanyak RM1,000, ini dapat menggalakkan rakyat Malaysia melakukan percutian mereka melalui agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC yang akan mengerakkan kembali rantaian pelancongan seperti hotel, syarikat penerbangan, restoran, taman tema, kedai cenderahati dan lain-lain.

 

"Bagi Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC, Papuh yakin dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu ahli kami untuk membuka kembali perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Razali Mohd. Sham
Razali Mohd. Sham

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan pakej bantuan terbaharu iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

 

Pemerkasa menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan. 

 

Bagi sektor pelancongan yang paling teruk terjejas akibat COVID-19, pelbagai bantuan dibentangkan bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor berkenaan.

 

 

Berikut adalah bantuan di bawah Pemerkasa yang berkaitan dengan sektor pelancongan;

  • Melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember 2021.
  • Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022.
  • Membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 diberikan kepada syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa.
  • Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuam.
  • Memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.
  • Memberi pengecualian levi HRDF bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021.
  • Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.
  • Bantuan tunai secara one-off sebanyak RM600 kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC.
  • Pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10% akan dilanjutkan selama 3 bulan lagi sehingga 30 Jun 2021.

 

 

Tambah Razali, pihaknya berharap agar ahli-ahli dapat menggunakan bantuan tersebut dengan sebaik mungkin.

 

"Walaupun bantuan ini nampak kecil sekurang-kurang dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban syarikat.

 

"Dengan trend penuranan kes jangkitan harian COVID-19 di dalam negara, Papuh yakin Kerajaan Malaysia akan berusaha membuka semula pintu sempadan negara dalam masa yang terdekat ini bagi membolehkan pelancongan asing masuk ke negara dan membolehkan rakyat Malaysia mengerjakan ibadah umrah di bulan Ramadan yang akan tiba.

 

"Ini akan dapat memulihkan kembali ekonomi negara dalam sektor pelancongan," jelasnya lagi. - DagangNews.com