Agensi penguatkuasaan perlu lebih banyak sumber bagi membanteras penyeludupan rokok, bukan undang-undang baru | DagangNews Skip to main content

Agensi penguatkuasaan perlu lebih banyak sumber bagi membanteras penyeludupan rokok, bukan undang-undang baru

Pasukan penguatkuasaan sempadan perlukan lebih banyak sumber. - Gambar ihsan APMM
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 19 Mei – Kerajaan Persekutuan perlu memberi tumpuan untuk menyokong agensi penguatkuasaan dengan sumber yang mencukupi bagi menangani perdagangan rokok haram yang dijangka menjadi lebih agresif dengan pembukaan semula sempadan, kata Presiden E-Cure Sdn Bhd, sebuah firma perunding dalam Kawalan Jenayah Ekonomi dan bekas Ketua Polis Negeri Sarawak, Datuk Dr Yusoff Nook.

 

Datuk Dr. Yusoff berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan telah memberi penekanan tepat untuk memastikan kelangsungan hidup dan kebajikan rakyat dengan memperuntukkan lebih banyak sumber memerangi pandemik dan program bantuan.

 

“Kerajaan telah melaksanakan perubahan dasar untuk memerangi perdagangan rokok haram seperti larangan pemindahan rokok, dan ini patut dipuji, tetapi sindiket itu memintas langkah kerajaan setiap hari kerana sekarang pun rokok haram masih boleh diperoleh secara meluas di pasaran.

 

"Kita memerlukan lebih banyak sumber untuk menamatkan perdagangan rokok haram yang bukan sahaja mengancam kesihatan dan kesejahteraan rakyat tetapi menjejaskan aliran hasil kerajaan yang sudah tegang," kata Datuk Dr. Yusoff.

 

“Jadi, pasukan penguatkuasa kita di lapangan akan menanggung beban kerja yang lagi berat. Mereka memerlukan lebih banyak sumber.

 

"Seperti yang kita tahu, mereka sudah pun bergelut dengan kekangan bajet dan kekurangan tenaga kerja untuk menguatkuasakan undang-undang membanteras aktiviti penyeludupan,” katanya sambil menambah terdapat keperluan untuk lebih banyak perkongsian risikan rentas sempadan antara negara.

 

Datuk Dr. Yusoff berkata ketirisan jenayah ekonomi menyebabkan kerajaan menanggung kos kira-kira RM300 bilion setahun, sedangkan wang itu boleh disalurkan kepada infrastruktur dan program kritikal untuk rakyat, khususnya mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan bawah 40 (B40).

 

Beliau berkata inilah sebabnya kerajaan mesti memberi tumpuan kepada menyokong agensi penguatkuasaan dengan meningkatkan pembiayaan untuk tenaga kerja, latihan dan peralatan, terutamanya alat pemantauan dan pengumpulan risikan yang canggih seperti pos mendengar penguatkuasa bagi memastikan sempadan luas negara, terutama kawasan pantai, dikawal dengan baik.

 

 

Datuk Dr Yusoff Nook
          Datuk Dr Yusoff Nook

 

 

“Undang-undang semasa sudah memadai untuk menangkap dan mendakwa pelaku perdagangan haram. Malah Kementerian Kesihatan mempunyai kuasa penguatkuasaan yang luas untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menjual rokok seludup yang di bawah harga minimum yang diwajibkan,” ujar beliau.

 

"Undang-undang jenis larangan baharu seperti mengharamkan penjualan rokok hanya akan menambahkan lagi beban kepada agensi penguatkuasaan undang-undang,”

 

“Kerajaan harus menumpukan perhatian dan perbelanjaannya ke arah menyediakan agensi penguatkuasaan undang-undang dengan dana dan alat yang mencukupi untuk memerangi perdagangan haram. Mewujudkan satu lagi set undang-undang baharu sebaliknya, berpotensi memberi insentif kepada sindiket jenayah,” katanya. - DagangNews.com