Agong mungkin panggil ketua parti dapatkan pandangan, dakwa Anwar | DagangNews Skip to main content

Agong mungkin panggil ketua parti dapatkan pandangan, dakwa Anwar

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Istana negara hari ini menjadi tumpuan media berhubung perkembangan terkini sokongan majoriti kukuh dalam kalangan ahli parlimen yang didakwa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada satu sidang akhbar khas, Anwar mendakwa telah mempersembahkan sebuah dokumen ketika pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi. 

Dokumen itu didakwa mengandungi akuan sumpah selain pengesahan ketua parti yang menyokongnya. 

Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak untuk memberikan ruang kepada Agong untuk menelaah dokumen berkenaan sekaligus didakwa memanggil ketua-ketua parti dalam masa terdekat bagi mendapatkan input dan pandangan.

Oleh itu, hari ini bukan soal kemenangan atau kekalahan sesiapa. 

“Tapi oleh kerana Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan memanggil ketua-ketua parti, maka munasabah untuk kita bersabar, memberi ruang dan wewenang untuk YDPA memutuskan,” katanya. 

Pada 23 September lalu, Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti penuh ahli parlimen untuk membentuk kerajaan dan mendakwa kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh. 

Hari ini, beliau mengulangi lagi dakwaan berkenaan selepas mencapai lebih 120 sokongan ahli parlimen. 

“Mencecah lebih 120 (ahli parlimen). 

“Beri ruang dan wewenang untuk YDP putuskan, tidak wajar untuk beri tarikh atau tetapkan waktu atau masa,” tambah Anwar. - DagangNews.com