Agrocloud, NCIA dan KDDI jalin kerjasama menyahkarbon tanaman padi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Agrocloud, NCIA dan KDDI jalin kerjasama menyahkarbon tanaman padi di Malaysia

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Agrocloud Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan KDDI Malaysia untuk menyahkarbonkan penanaman padi Malaysia. 

 

Projek itu bertujuan memperkenalkan metodologi baharu dalam penanaman padi huluan yang terbukti dapat mengurangkan pembebasan metana daripada sawah padi tenggelam.

 

KDDI Malaysia, sebuah syarikat telekomunikasi global, akan memainkan peranan sebagai penasihat dalam projek itu dan menyumbang kepakaran teknikal kepada pembangunan alatan perisian penting diperlukan untuk menskalakan projek di seluruh Malaysia dan rantau ini.

 

Pengarah Urusan KDDI Malaysia Sdn Bhd, Masaki Matsuura berkata, pihaknya berdedikasi untuk menyokong peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon.

 

Katanya, projek itu menyediakan peluang berharga untuk mempamerkan potensi teknologi dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada amalan pertanian. 

 

"Titik fokus projek ialah pembangunan dan pelaksanaan teknologi dan amalan baharu yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan metana daripada sawah padi. 

 

"Ini termasuk penggunaan teknik pembasahan dan pengeringan alternatif (AWD), padi benih terus (DSR), penggunaan biochar, dan pengenalan varieti baharu padi yang kurang intensif metana," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

 

kddi
(Dari kiri) Mohamad Haris Kader Sultan, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, Masaki Matsuura dan Pengarah Urusan Agrocloud, Vishnus Nair ketika majlis pemeteraian antara Agrocloud, KDN dan KDDI Malaysia.    

 

 

Pengarah Urusan Agrocloud, Vishnu Nair pula berkata, penyahkarbonan penanaman padi Malaysia merupakan satu langkah penting ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara. 

 

Katanya, selain mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, projek tersebut akan membuka jalan pendapatan baharu untuk pesawah.

 

"Projek itu akan dimuktamadkan dalam tempoh 18 bulan, ia bertujuan untuk memulakan proses penyahkarbonan dalam penanaman padi Malaysia setelah berjaya disiapkan. 

 

"Ini seterusnya akan menjana aliran pendapatan tambahan untuk pesawah padi melalui penjualan kredit karbon," katanya.

 

Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, ia merupakan satu langkah ke hadapan yang penting bagi industri padi Malaysia.

 

"Kami mempunyai keyakinan terhadap kejayaan projek ini, meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pertanian mampan.

 

"Semua penyumbang kepada projek ini berhak mendapat pujian kerana mengambil langkah awal yang penting ini ke arah mencapai sasaran SDG negara," katanya. DagangNews.com