Ahli KWSP terima dividen hingga umur 100 tahun | DagangNews Skip to main content

Ahli KWSP terima dividen hingga umur 100 tahun

 

KUALA LUMPUR 20 April - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa sebuah kenyataan mengenai pembayaran dividen sehingga usia 75 tahun yang tersebar terutamanya di aplikasi Whatsapp tidak lagi terpakai.

 

KWSP menerusi sebuah kenyataan sebaliknya menekankan bahawa ahli akan terus menikmati dividen bagi sebahagian simpanan mereka sehingga usia 100 tahun yang telah berkuatkuasa sejak 1 Januari 2017.

 

Ini pernah dijelaskan oleh pengurus dana pencen itu dalam sebuah kenyataan bertarikh 3 November 2016.

 

Langkah berkenaan susulan pindaan ke atas Akta KWSP 1991 bagi memastikan ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian simpanan mereka selepas bersara akan terus menerima manfaat daripada gandaan dividen sehingga semua simpanan dikeluarkan oleh ahli.

 

"KWSP akan memaklumkan kepada ahli dan hanya akan memindahkan sebarang simpanan yang tidak dituntut apabila ahli berumur 100 tahun kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

 

"Sebarang tuntutan selepas pemindahan itu boleh dibuat melalui Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

 

"KWSP menasihati ahli supaya berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang dihebahkan melalui saluran media sosial dan sentiasa mengesahkan sumber dan tarikh maklumat itu," jelas KWSP. - DagangNews.com