Ahmad Fahmi dipilih sebagai Presiden ABIM baharu bagi sesi 2023-2025, menggantikan Muhammad Faisal | DagangNews Skip to main content

Ahmad Fahmi dipilih sebagai Presiden ABIM baharu bagi sesi 2023-2025, menggantikan Muhammad Faisal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - Bekas Naib Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dipilih sebagai presiden baharu bagi menerajui kepimpinan sesi 2023-2025 bagi menggantikan Muhammad Faisal Abdul Aziz.

 

Pemilihan beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Misson (GPM) Malaysia disepakati perwakilan persidangan Mesyuarat Agung Tahunan (Muktamar Sanawi) kali ke-52 yang diadakan pada 8 hingga 10 Disember 2023 bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Bersempena Muktamar Belia Islam ini juga dianjurkan Ijtimak Harakiy kali ke-7 dan Seminar Nasional Peradaban Madani 2023: Kebangkitan Nusa dan Anjakan Global dengan kerjasama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Putrajaya. 

 

Dalam acara yang sama, Ucapan Dasar Presiden ABIM yang bertemakan “Membangun Negara Madani Dalam Penghayatan Amanah Iktikhlaf: Kelanjutan Kesinambungan Kosmopolitan Islam".

 

abim

 

Ahmad Fahmi berkata, inisiatif ABIM itu merupakan tekad bagi terus berperanan dalam merealisasikan agenda ‘Malaysia Madani’ yang merupakan suatu kerangka penting dalam pembangunan peradaban Malaysia yang gemilang seterusnya membangkitkan kekuatan negara bagi menganjak paradigma baharu dunia global. 

 

abim
Ahmad Fahmi (kanan) bersama bekas Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz pada Muktamar Sanawi ke-52 di UKM.

 

Beliau berkata, menyedari keterikatan terhadap faktor politik serta ekonomi tidak memadai untuk menjayakan gagasan besar itu, ABIM akan terus menggerakkan  agenda ini menerusi elemen pendidikan dalam kalangan generasi muda, pembinaan institusi keluarga, dan pembentukan masyarakat yang secara kolektif agar mampu memberi impak kepada sosio politik dan ekonomi negara.

 

"Bagi pihak barisan kepimpinan yang baharu, kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan kepimpinan sebelumnya yang diterajui oleh Muhammad Faisal dan ahli jawatankuasa sebelumnya atas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ABIM juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kesudian merasmikan Majlis Makan Malam Memori Perjuangan: Melakar Nahdah Ummah. 

 

Majlis turut diserikan dengan kehadiran mantan pimpinan ABIM iaitu Menteri Pendidikan, Fadhlina Siddiq dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustafa Sakmud. - DagangNews.com