Tawaran Awam Permulaan Feytech terlebih langganan 15.64 kali | DagangNews Skip to main content

Tawaran Awam Permulaan Feytech terlebih langganan 15.64 kali

Feytech Holdings Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM114.66 juta daripada IPO. -Gambar Feytech
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 9 Mei - Tawaran awam permulaan (IPO) Feytech Holdings Berhad telah terlebih langgan sebanyak 15.64 kali oleh orang ramai Malaysia menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 Mei ini.

 

Pengeluar tempat duduk kenderaan itu berkata, 42,160,000 saham terbitan diperuntukkan bagi orang awam Malaysia menerima sejumlah 14,687 permohonan untuk 701.36 juta saham terbitan bernilai RM 561.09 juta, mewakili kadar lebihan langgan keseluruhan sebanyak 15.64 kali.

 

Bahagian Bumiputeranya pula, 7,898 permohonan untuk 265,607,100 saham terbitan diterima, iaitu kadar lebihan langganan 11.60 kali.

 

Bagi bahagian awam, sejumlah 6,789 permohonan untuk 435,757,000 saham terbitan diterima, mewakili kadar lebih langganan 19.67 kali.

 

Selanjutnya, Ejen Penempatan Bersama telah mengesahkan bahawa 75,868,800 saham terbitan dan 4,216,000 saham tawaran yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, serta 105,400,000 saham tawaran yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera telah diluluskan oleh MITI dikeluarkan sepenuhnya.

 

Semua notis peruntukan untuk saham ini akan dihantar melalui pos kepada pemohon yang berjaya pada atau sebelum 17 Mei 2024.

 

Feytech menyasarkan untuk mengumpul RM114.66 juta daripada IPO.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Feytech sasar dana RM114.6 juta daripada IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia

 

feytech1

 

Hasil tersebut akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan kumpulan termasuk digunakan bagi menempatkan semula semua operasi sedia ada di Petaling Jaya ke pejabat korporat baharu.

 

Feytech Holdings memperuntukkan 10.1% daripada hasil untuk membiayai sebahagian daripada pemerolehan tanah di Lembah Klang dan 18.4% untuk pembinaan pejabat korporat baharu bersama kilang pembuatan dan gudang di lokasi tersebut.

 

Di samping itu, 16.4% daripada hasil IPO akan digunakan untuk membina kilang pembuatan baharu, gudang, bangunan pejabat tambahan dan asrama kakitangan yang akan dibina di atas sebahagian tanah perindustrian kosong di pekan Sungai Karangan, Kulim, Kedah dengan jumlah anggaran keluasan binaan 84,000 kaki persegi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Apex Securities saran pelabur langgan IPO Feytech pada harga sasaran RM1.13

 

Kumpulan Feytech terutamanya mengeluarkan sarung dan tempat duduk automotif untuk segmen pasaran pengeluar peralatan asal (OEM).

 

Pelanggan dalam segmen pasaran OEM terdiri daripada OEM kenderaan automotif seperti Mazda Malaysia (untuk model kereta Mazda 3, CX-5, CX-8 dan CX-30) dan Kia Malaysia (untuk model kereta Kia Carnival dan Sorento), serta Tier 1 tempat duduk automotif dan/atau pengeluar bahagian dalaman yang menyediakan OEM kenderaan automotif untuk jenama seperti OEM tempatan, Mazda dan Hyundai.

 

Feyt

 

Selepas penyenaraian, permodalan pasaran Kumpulan itu akan menjadi kira-kira RM674.56 juta berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 843.2 juta saham dan harga IPO sebanyak 80 sen sesaham.

 

TA Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.

 

AmInvestment Bank ialah Penaja Jamin Bersama dan Ejen Penempatan Bersama untuk IPO Feytech Holdings. 

 

Keuntungan bersih kumpulan itu meningkat 59.01% kepada RM43.9 juta pada FY2023 daripada RM27.6 juta setahun sebelumnya apabila hasil melonjak 66.5% kepada RM211.2 juta daripada RM126.9 juta yang sebelumnya dipacu oleh jualan lebih tinggi dalam tempat duduk automotif, sarung tempat duduk dan dalaman penutup bahagian.- DagangNews.com