Untung bersih 3QFY24 Kotra Industries susut 61% kepada RM6.8 juta kesan penurunan jualan produk farmaseutikal | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 3QFY24 Kotra Industries susut 61% kepada RM6.8 juta kesan penurunan jualan produk farmaseutikal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Untung bersih Kotra Industries Bhd pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24) susut 61% kepada RM6.8 juta berbanding RM17.5 juta bagi suku sama tahun sebelumnya kesan penurunan jualan produk farmaseutikal di pasaran tempatan dan eksport.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil pada suku berkenaan juga menyusut kepada RM55.9 juta berbanding RM59.4 juta pada 3QFY23.

 

Untung bersih bagi tempoh sembian bulan berakhir 31 Mac 2024 (9MFY24) juga susut kepada RM32.1 juta berbanding RM52.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala hasil juga berkurangan kepada RM166.7 juta berbanding RM186.4 juta.

 

Katanya, kemerosotan untung itu disebabkan oleh campuran produk dan jualan lebih rendah selain peningkatan perbelanjaan tertentu secara tetap.

 

"Penurunan margin keuntungan bersih daripada 29.45% kepada 12.23% disebabkan perbelanjaan cukai pendapatan yang berkaitan dengan keuntungan perniagaan dan pendapatan faedah selama sembilan bulan kumpulan," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, ketidaktentuan ekonomi semasa, didorong oleh tekanan inflasi global dan turun naik kadar pertukaran mata wang asing, dijangka berterusan sepanjang tahun ini.

 

Katanya, persekitaran itu boleh menyebabkan peningkatan kos operasi dan melemahkan kuasa beli pengguna, yang berpotensi menjejaskan jualan farmaseutikal.

 

"Walaupun prospek ekonomi tidak menentu, lembaga pengarah kekal positif tentang prospek kumpulan dan menjangkakan keuntungan berterusan untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 disebabkan permintaan produk yang mampan.

 

"Lembaga pengarah juga komited membuat keputusan yang berhemat dan akan memantau selain mengkaji secara proaktif rancangan strategik kumpulan dalam usahanya untuk mencipta nilai yang mampan untuk para pemegang saham," katanya.

 

Walaupun sentimen pasaran semasa menggambarkan prospek ekonomi yang tidak menentu, lembaga pengarah kekal positif dalam prospek kumpulan. - DagangNews.com