Sumbangan PMKS kepada KDNK berkembang 5% pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Sumbangan PMKS kepada KDNK berkembang 5% pada 2023 - DOSM

KUALA LUMPUR 26 Julai - Sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 5% pada 2023 dengan nilai ditambah berjumlah RM613.1 bilion atau 39.1% kepada ekonomi Malaysia, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Pertumbuhan PMKS juga mengatasi KDNK Malaysia iaitu 3.6% pada 2023.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama yang merangkumi 84.8% daripada KDNK PMKS.

 

"Sektor pertanian menyumbang 9.1% kepada KDNK PMKS, diikuti oleh sektor pembinaan (4.5%) dan perlombongan dan pengkuarian (0.5%)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, sektor perkhidmatan meningkat 6.5% pada 2023 berbanding 17.2% pada tahun sebelumnya.

 

dosm

 

"Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan yang stabil dalam subsektor utama, iaitu perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan (5.7%); kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.3%); dan pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi (10.6%)," katanya.

 

Beliau berkata, sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan 1.5% (2022: 6%) dan dipengaruhi oleh pertumbuhan positif dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (5%); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.3%).

 

Katanya, nilai ditambah PMKS dalam sektor pertanian meningkat 1.3% pada 2023, lebih tinggi daripada pertumbuhan 0.9% pada tahun sebelumnya.

 

"Prestasi ini disokong oleh subsektor getah, kelapa sawit, ternakan dan pertanian lain (1.8%) dan perikanan (0.5%)," katanya.

 

Sementara itu, nilai ditambah PMKS bagi sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing turut berkembang 5.8% (2022: 5%) dan 4.9% (2022:10.7%).

 

Dari perspektif perdagangan luar negeri, Mohd Uzir berkata, eksport PMKS berjumlah RM152.2 bilion dengan dengan pertumbuhan 4.5% pada 2023, lebih perlahan berbanding 17.2% yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

 

Beliau berkata, guna tenaga PMKS terus mencatatkan peningkatan dengan pertumbuhan tahunan yang lebih perlahan 3.5% berbanding 3.8% pada 2022, untuk merekodkan sejumlah 7.86 juta orang berbanding 7.59 juta orang pada 2022.

 

"Sehubungan itu, sumbangan guna tenaga PMKS kepada guna tenaga Malaysia pada 2023 adalah 48.5%, meningkat 0.3 mata peratus berbanding 48.2%pada 2022," katanya. - DagangNews.com