ALOR SETAR 24 Nov - Keputusan konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi, tidak mendatangkan apa-apa kerugian kepada negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, projek itu juga tidak melibatkan kerajaan negeri sebaliknya merupakan kerjasama antara dua syarikat swasta.
Sehubungan itu beliau menzahirkan rasa hairan mengapa terdapat pihak yang memarahi serta menyalahkan dirinya serta kerajaan negeri, berhubung keputusan diambil kumpulan berkenaan.
"Itu bukan eksesais baharu tapi tak tahulah mengapa baru saja berbangkit. Saya rasa kisah BZI menarik diri ini dah diumumkan di Bursa Malaysia kerana mereka merupakan syarikat disenaraikan, bukan boleh 'campur' tak tentu hala.
"Tetapi ada pula yang marah saya sedangkan saya bukan ada kaitan dengan Bin Zayed, malah kenal pun tak. Projek kerjasama BZI dengan Widad Business Group Sdn. Bhd. itu pun diumumkan oleh Perdana Menteri pada waktu itu di Kuala Lumpur, bukan di Kedah.
"Pengumuman itu dibuat di Kementerian Kewangan dengan Menteri Kewangan pada masa itu pun, kini masih lagi bergelar menteri di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Jadi boleh cari dia," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pembentangan Bajet Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Projek pembangunan The Langkasuka bernilai RM40 bilion bakal dimulakan pada 2Q2022
Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy kelmarin mengesahkan kumpulan itu telah menarik diri daripada projek berkenaan.
Menurut Shamir Kumar, syarikat itu tidak lagi terlibat dengan projek Langkasuka dan menarik diri sejak 2022 bagi memberi tumpuan kepada peluang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar.
Langkasuka Langkawi merupakan projek pembangunan bercampur di tapak seluas 2,000 ekar pulau buatan dan mengikut perancangan, akan dibangunkan secara dua fasa dalam tempoh 15 tahun.
Kedua-dua syarikat itu menandatangani perjanjian kerjasama bagi melaksanakan projek itu pada Mac 2021, dengan disaksikan Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis yang turut dihadiri Muhammad Sanusi di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, ketika ini beliau dimaklumkan fasa satu projek berkenaan masih berjalan dengan diusahakan Widad namun perkembagannya agak perlahan.
"Premium tanah itu bernilai berpuluh juta juga sudah dibayar oleh Widad. Hanya selepas mereka memperolehi tanah itu, barulah syarikat berkenaan menjalinkan kerjasama dengan BZI, bukan ada sangkut dengan kerajaan negeri.
"Dalam hal ini, peranan kerajaan negeri hanya meluluskan pelupusan tanah mengikut undang-undang sebelum syarikat terlibat membayar premium serta cukai. Selesai semua itu, syarikat berkenaan yang akan memainkan peranan membangunkan tanah tersebut," katanya. - DagangNews.com