Progressive Impact terima kontrak RM14.74 juta daripada Air Selangor bagi penyelenggaraan stesen penganalisis kualiti air | DagangNews Skip to main content

Progressive Impact terima kontrak RM14.74 juta daripada Air Selangor bagi penyelenggaraan stesen penganalisis kualiti air

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Progressive Impact Corporation Bhd menerusi Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM14.74 juta daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan pencegahan dan pembetulan bagi 190 stesen Penganalisis Masa Nyata Kualiti Air Agihan Hibrid (HYDRA) di Selangor. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian oleh Air Selangor itu menandakan potensi pertumbuhan yang dimiliki kumpulan dalam sektor air.

 

Katanya, ia juga merupakan petunjuk peningkatan Air Selangor terhadap keupayaan dan pengalaman kumpulan dalam melaksanakan perkhidmatan alam sekitar berkualiti tinggi.

 

"Kontrak itu adalah untuk tempoh 36 bulan bermula dari tarikh menerima tapak projek atau pada mana-mana tarikh lain yang ditetapkan oleh Air Selangor.

 

"Air Selangor boleh melanjutkan tempoh kontrak untuk tempoh lanjut sehingga enam bulan dengan memberi notis bertulis tidak kurang daripada satu bulan sebelum tarikh tamat tempoh," katanya.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.- DagangNews.com