Untung bersih SkyWorld Development meningkat 45.4% kepada RM14.5 juta pada 2QFY25 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih SkyWorld Development meningkat 45.4% kepada RM14.5 juta pada 2QFY25

Gambar dari Facebook SkyWorld
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - SkyWorld Development Bhd catat keuntungan bersih sebanyak RM14.5 juta, meningkat 45.4% pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (2QFY25).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah bandar itu juga mencatat peningkatan hasil sebanyak 25.8% kepada RM124.3 juta.

 

"Prestasi kukuh itu disumbangkan oleh pengiktirafan hasil progresif yang lebih tinggi daripada pembangunan berterusannya, termasuk Edgewood Residences, SkyVogue Residences, Curvo Residences dan Vesta Residences.

 

"Walaupun pendapatan tahun ke tahun lebih rendah berikutan penyiapan SkyAwani IV dan SkyAwani V Residences, hasil kumulatif enam bulan berjumlah RM223.1 juta, dengan PATAMI sebanyak RM24.5 juta," katanya.

 

Di samping itu, SkyWorld Development mengekalkan kedudukan kewangan yang teguh dengan wang tunai RM437.3 juta dan baki bank serta nisbah penggearan bersih sebanyak 0.03 kali pada 30 September 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development, Lee Chee Seng berkata, fokus syarikat adalah untuk melancarkan pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kumulatif RM4.6 bilion menjelang 2026. 

 

Sehingga kini, projek bernilai RM1.1 bilion telah dilancarkan serta merancang untuk mendedahkan perkembangan melebihi RM3.5 bilion dalam GDV dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Cee Seng berkata, matlamat kumpulan adalah untuk merapatkan keterjangkauan dan kebolehhidupan, menawarkan pembangunan dengan konsep ‘Bangunan Sihat, Hidup Sihat’. 

 

Katanya, strategi itu adalah untuk meningkatkan kualiti hidup pemilik rumah sambil memastikan kos kemasukan yang lebih rendah. 

 

Beliau turut menekankan kerjasama dengan PR1MA dalam pembangunan rumah mampu milik dengan GDV sebanyak RM191.5 juta sejajar dengan misi syarikat untuk memupuk semangat kemasyarakatan dan menyampaikan rumah bernilai tinggi.

 

Lembaga Pengarah mencadangkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 5 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dan pembayaran itu dijadualkan pada 30 Disember 2024. - DagangNews.com