Penang Port umum pelaburan besar beli jentera pengendalian kontena Kalmar baharu | DagangNews Skip to main content

Penang Port umum pelaburan besar beli jentera pengendalian kontena Kalmar baharu

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MACH1 Pan Chee Seng, Naib Presiden Wilayah AMEA Kalmar Teo Yew Boon, dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd, Datuk Sasedharan Vasudevan.
Oleh Syaza Norazharuddin

KUALA LUMPUR 26 Julai - Penang Port Sdn Bhd mengumumkan pelaburan besar dalam pembelian jentera pengendalian kontena Kalmar baharu.

 

Pelaburan itu merupakan langkah besar syarikat itu dalam mengoptimumkan operasi dan meningkatkan tahap perkhidmatan pengendalian kontena, kenderaan baharu itu terdiri daripada empat unit Pengendali Kontena Kosong dan satu unit ‘Reach Stacker.’ 

 

Dalamkenyataannya di sini hari ini, syarikat itu berkata, jentera pengendalian kontena Kalmar terkenal dengan kebolehpercayaan dan pengalaman luasnya dalam dalam bidang peralatan jentera operasi pelabuhan akan mengubah operasi perkhidmatan kontena Penang Port.

 

Katanya, penambahan kenderaan baharu itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dengan kos lebih efektif sekali gus menjadi penanda aras kerana buat pertama kalinya, tenaga kerja Penang Port sendiri akan mengendalikan jentera kontena itu. 

 

Selain itu, ‘Reach Stacker’ yang dilengkapi dengan sistem penimbangan kontena, akan digunakan buat pertama kali dalam operasi penimbangan kontena Penang Port.

 

Perkhidmatan baharu itu dijangka menjana pendapatan tambahan untuk syarikat sambil meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan.

 

 

Penang

 

 

Majlis penyerahan itu berlangsung di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) dengan kehadiran pihak berkepentingan utama iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MACH1, Pan Chee Seng dan Naib Presiden Wilayah AMEA Kalmar, Teo Yew Boon.

 

Pembelian pengendalian jentera baharu itu yang dilengkapi teknologi peralatan pelabuhan terkini, direka untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan menyelaraskan operasi serta sejajar dengan komitmen Penang Port terhadap kecemerlangan operasi dan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata, syarikat itu teruja untuk memperkenalkan jentera pengendalian kontena Kalmar baharu ini dalam operasinya.

 

"Pelaburan ini menekankan dedikasi kami untuk kekal di barisan hadapan industri dan menyampaikan perkhidmatan pelabuhan yang cekap dan boleh dipercayai,” ujarnya.

 

Sementara itu, pembelian jentera pengendalian kontena Kalmar itu dijangka menyelaraskan proses dalaman dan meningkatkan daya saing operasi pelabuhan tersebut.- DagangNews.com