Pantech Global failkan permohonan IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi pembinaan kilang baharu | DagangNews Skip to main content

Pantech Global failkan permohonan IPO Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi pembinaan kilang baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Pengeluar paip keluli, Pantech Global Bhd memfailkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk pengembangan, termasuk pembinaan kilang baharu dan pemerolehan kilang sedia ada.

 

Kumpulan itu merupakan kenderaan tujuan khas yang dibentuk untuk tujuan penyenaraian dua anak syarikat milik penuh Pantech Group Holdings Bhd iaitu Pantech Stainless & Alloy Industries Sdn Bhd (PSA) dan Pantech Steel Industries Sdn Bhd (PSI).

 

Menurut draf prospektusnya, IPO yang dicadangkan itu merangkumi 262.23 juta saham baharu pada harga yang akan ditentukan kemudian dan tiada penjualan berasingan saham sedia ada.

 

“Bagi menampung pengembangan kumpulan dalam operasi perniagaan, kami berhasrat untuk menubuhkan ibu pejabat korporat dan kilang baharu di Klang menjelang 2027. 

 

"Sebahagian daripada rancangan kami untuk kilang baharu ini termasuk gudang dan penginapan pekerja," kata Pantech Global.

 

Kumpulan itu juga sedang merancang untuk menubuhkan gudang baharu di Pasir Gudang menjelang 2027 dan membina kilang baharu.

 

Pantech Global terlibat dalam pembuatan kelengkapan paip kimpalan dan paip keluli tahan karat di Klang dan Johor. Bagi tahun kewangan berakhir 29 Feb 2024, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM49.71 juta atas hasil RM440.94 juta.

 

Di bawah terbitan awam, Pantech Global memperuntukkan 21.25 juta saham baharu kepada rakyat Malaysia melalui pengundian, dengan separuh lagi diketepikan untuk pelabur Bumiputera. Syarikat itu juga menjual 29.75 juta saham IPO kepada orang yang layak.

 

Sementara itu, pemegang saham induk Pantech Group berhak mendapat satu saham IPO Pantech Global bagi setiap 25 saham sedia ada yang dipegang, dengan jumlah 35 juta saham.

 

Kumpulan itu juga akan memasarkan 69.98 juta saham IPO melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, dengan sejumlah 106.25 juta saham IPO diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan.

 

Di samping pembesaran kemudahan operasi, hasil yang akan dikumpul daripada terbitan awam juga telah diperuntukkan untuk perolehan tanah dan bangunan serta untuk membeli dan menaik taraf mesin, pembayaran balik pinjaman bank, dan untuk memenuhi keperluan modal kerja.

 

Selepas IPO, kumpulan masih memiliki 69.15% dalam Pantech Global.

 

Alliance Islamic Bank merupakan penasihat utama, pengumpul buku tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO. - DagangNews.com