MYMBN meterai perjanjian jual sarang burung bernilai RM60 juta dengan syarikat China, Yan An Ju | DagangNews Skip to main content

MYMBN meterai perjanjian jual sarang burung bernilai RM60 juta dengan syarikat China, Yan An Ju

Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah), Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas MYMBN Berhad, Liw Chong Liong (pertama dari kiri) dan Ketua Pegawai Perolehan Yan An Ju (Xiamen) Co. Ltd, Luo Yibin (pertama dari kanan)
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - MYMBN Berhad, melalui anak syarikat milik penuhnya, MBN Enterprise Sdn Bhd, menjalinkan kerjasama strategik dengan Yan An Ju (Xiamen) Group Co ltd, sebuah syarikat pemprosesan sarang burung boleh dimakan (EBN) di China. 

 

Perkongsian strategik itu melibatkan pembelian dan penjualan sarang burung mentah tidak bersih (RUCEBN) di China bernilai RM60 juta.

 

Syarikat pemproses sarang burung itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) semasa majlis pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur & Agropelancongan Malaysia (MAHA) Go Global 2024 pada Khamis.

 

Perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

 

Sejak mendapatkan kelulusan daripada Pentadbiran Am Kastam China (GACC) pada 2019, MYMBN menjadi syarikat Malaysia pertama mengeksport RUCEBN terus ke China.

 

Yan An Ju pula telah menjadi rakan strategik utama MYMBN yang menjana sekitar RM35 juta hasil tahunan kepada syarikat itu.

 

Pengarah Eksekutif MYMBN, Lavernt Chen Vun Wo berkata, MoU itu mencerminkan keyakinan terhadap konsistensi dan kualiti produk RUCEBN MYMBN.

 

“Perkongsian ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan MYMBN di pasaran China tetapi juga memacu pertumbuhan dan inovasi dalam industri sarang burung.

 

"Pelan dagangan yang digariskan dalam MoU ini akan memberikan kumpulan keterlihatan pendapatan yang diperlukan dan hala tuju strategik. 

 

“Ia melibatkan pengimportan kumpulan pertama RUCEBN menjelang Awal 2025.

 

“Selain itu, perkongsian itu menetapkan MYMBN membekalkan EBN bernilai RM60 juta kepada Yan Ju dari 2025 hingga 2026.

 

“Langkah strategik itu sejajar dengan strategi hiliran kami, mengukuhkan kehadiran pasaran kami sambil menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan China,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, MYMBN mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM700,000 pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24), meningkat sebanyak 45.81% daripada suku sebelumnya. 

 

Peningkatan itu didorong oleh keuntungan kasar yang lebih tinggi hasil daripada penurunan purata harga belian sarang burung mentah.- DagangNews.com