U Mobile dan CIMB Bank tandatangani MoU untuk sokong pembiayaan rangkaian 5G kedua negara | DagangNews Skip to main content

U Mobile dan CIMB Bank tandatangani MoU untuk sokong pembiayaan rangkaian 5G kedua negara

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Jan - U Mobile menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CIMB Bank Bhd (CIMB) untuk memperluaskan sokongan pembiayaan bagi pelaksanaan rangkaian 5G yang akan datang, berikutan pelantikan U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G kedua negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama strategik bersama CIMB bagi pelaksanaan rangkaian 5G.

 

"CIMB adalah rakan pembiayaan jangka panjang kami dan kami berkongsi komitmen untuk memacu inovasi serta pertumbuhan dalam ekonomi negara melalui 5G, selaras dengan matlamat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan memberi penekanan kepada pendigitalan.

 

"Kami percaya, sokongan kewangan CIMB akan memperkukuh kemampuan U Mobile dalam memastikan pelaksanaan rangkaian 5G kedua yang pantas dan kos efektif serta akan memberikan manfaat kepada perusahaan, pengguna dan sektor awam," katanya dalam satu kenyataan.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Heang Tuck dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei di Pejabat Korporat U Mobile di Berjaya Times Square. 

 

Majlis tersebut disaksikan oleh CFO U Mobile, Sandy Tsang serta Ketua Liputan Korporat Malaysia dan Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Denise Wong.

 

Kok Wei dalam pada itu berkata, selaras dengan matlamat bersama untuk membina negara, CIMB berbesar hati menyokong usaha U Mobile bagi menghubungkan rakyat Malaysia dan merangsang inovasi digital melalui kuasa 5G.

 

"CIMB juga bersedia menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan menyeluruh selain pembiayaan, termasuk dalam bidang perbankan pelaburan dan perbendaharaan, yang akan mencetuskan inovasi serta mempercepatkan pertumbuhan U Mobile dan Malaysia," ujarnya.

 

MoU itu menandakan kerjasama pembiayaan terkini antara U Mobile dan CIMB.

 

Pada 2021, CIMB terlibat dalam kemudahan pembiayaan bernilai RM1.2 bilion kepada U Mobile, yang kemudiannya dinaikkan kepada RM1.4 bilion pada 2023. - DagangNews.com