Sunway City Iskandar Puteri dijangka raih manfaat JS-SEZ , kata CGS International | DagangNews Skip to main content

Sunway City Iskandar Puteri dijangka raih manfaat JS-SEZ , kata CGS International

Sunway City Iskandar Puteri, Johor - Gambar hiasan dari laman web rasmi Sunway
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Sunway Bhd merancang untuk memacu pembangunan pembandaran Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) atas tanah seluas 716.3 hektar di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). 

 

CGS International berkata, perbandaran itu terletak di salah satu daripada sembilan zon tertumpu JS-SEZ.

 

Firma penyelidikan itu yang mengekalkan saranan “add” ke atas saham Sunway dengan harga sasaran (TP) RM5.70, menjangkakan kumpulan itu melancarkan lebih banyak harta kediaman SCIP bagi menampung permintaan apabila JS-SEZ mula berkembang.

 

Katanya, pemaju hartanah akan melabur lebih banyak ke dalam SCIP dalam tempoh lima tahun akan datang. 

 

Ini termasuk zon komersial yang dibangunkan bersama dengan EqualBase Pte Ltd dengan fasa pertama terdiri daripada 2.2 juta kaki persegi ruang gudang logistik, hab makanan dan minuman di Sunway Puteri Hills dan sebuah eko-resort, Banjaran Mangrove Resort, serupa dengan resortnya berhampiran Ipoh, Perak.

 

“Unit rumah Sunway Aviana yang telah dijual sepenuhnya, Sunway Maple Residence, pembangunan pegangan bebas pertama kumpulan di Pendas, mencapai pengambilan sebanyak 74% pada 24 Disember 2024 mencerminkan permintaan yang tinggi di Iskandar Puteri.

 


"Selain itu, pelancaran unit kondo eksekutif Novo Place di Singaoura mencapai 88% pengambil alihan sejak pelancarannya pada November 2024. 

 

"Hasil penjualan ni sepatutnya membolehkan Sunway mencapai sasaran prajualan RM2.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24),” katanya dalam satu nota kajian. 

 

CGS International optimis terhadap pelancaran Pusat Perubatan Sunway Damansara, yang dibuka pada Disember 2024, menjadikan jumlah katil di bawah cabang penjagaan kesihatan syarikat itu, Sunway Healthcare Group (SHG), kepada 1,400.


Katanya, SHG dijangka mempercepatkan pertumbuhan pembinaan Pusat Perubatan Sunway Iskandar dan merancang untuk memohon lesen hospital pada suku pertama yang berakhir pada 30 Mac 2025. 

 

"SHG telah memulakan proses tawaran awam permulaan (IPO) yang mungkin dijadualkan untuk penyenaraian pada 4Q25 tetapi mungkin ditundakan sehingga separuh pertama 2026.

 

“Kami percaya pertumbuhan hasil sembilan bulan 2024 akan menjadi 27 % tahun ke tahun (YoY) pada 4Q24, dengan hasil FY24 sebanyak RM1.8 billion bagi SHG," katanya. - DagangNews.com