KUALA LUMPUR 15 Jan - Syarikat kejuruteraan utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang, MN Holdings Bhd dipercayai hanya mengalami gangguan minimum terhadap projek pusat datanya yang sedang berlangsung walaupun berlaku kawalan eksport Amerika Syarikat (AS) terhadap cip kecerdasan buatan (AI), kata Phillip Capital.
Katanya, walaupun kawalan itu menyebabkan gangguan kepada pelabur tetapi kesan ke atas operasi syarikat dijangka terhad.
"Pelanggan utama kumpulan iaitu pengendali pusat data yang berpangkalan di China yang membentuk 24% daripada buku pesanan mereka pada masa ini, masih tidak terejas dengan sekatan itu.
"Tiga fasa pertama pembangunan pusat data pelanggan utamanya menggunakan cip unit pemprosesan pusat dan bukannya unit pemprosesan grafik (GPU), mengurangkan kebimbangan segera," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Walaupun pengembangan fasa empat dan lima pusat data yang akan datang dijangka melibatkan lebih banyak syarikat multinasional (MNC) yang berpangkalan di AS, firma penyelidikan itu percaya kumpulan itu akan mendapatkan keperluan cip AI yang diperlukan Ketika diperlukan.
Dilaporkan minggu lalu bahawa pentadbiran AS merancang memperkenalkan sekatan eksport baharu pada cip AI di bawah sistem tiga peringkat mengikut negara, dalam usaha terakhir untuk memastikan teknologi termaju daripada tangan China dan Rusia.
Matlamatnya adalah untuk mengekang penjualan cip AI yang digunakan di pusat data pada kedua-dua negara dan asas syarikat, bagi menumpukan pembangunan AI di negara-negara mesra dan mendapatkan perniagaan di seluruh dunia agar sejajar dengan piawaian AS.
Malaysia, yang diklasifikasikan sebagai negara Tahap 2, dibenarkan mengimport hanya 50,000 GPU dalam tempoh dua tahun, dengan pengendali pusat data dihadkan untuk menggunakan maksimum 7% daripada kapasiti pengkomputeran mereka di mana-mana negara Tahap 2.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.45 sesaham. - DagangNews.com