Tex Cycle terima kelulusan EIA bagi pembinaan kemudahan pengurusan sisa bersepadu di Sabah | DagangNews Skip to main content

Tex Cycle terima kelulusan EIA bagi pembinaan kemudahan pengurusan sisa bersepadu di Sabah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Tex Cycle Technology (M) Bhd menerusi Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd menerima kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar bagi cadangan pembinaan kemudahan penyimpanan dan pemulihan sisa berjadual di luar tapak di Sipitang Oil dan Taman Perindustrian Gas (SOGIP), Sipitang, Sabah.

 

Kumpulan berkata, kelulusan itu merupakan langkah penting bagi memulakan operasi kemudahan penyimpanan dan pemulihan sisa berjadual di luar tapak SOGIP yang dijangka memulakan pembinaan menjelang suku keempat 2024.

 
Kemudahan itu bersedia menawarkan rumusan rawatan sisa tempatan yang kos efektif yang mematuhi piawaian alam sekitar yang ketat, mengurangkan keperluan untuk mengangkut sisa ke Semenanjung Malaysia untuk diproses serta sejajar dengan matlamat kemampanan Sabah dan dijangka mewujudkan lebih 150 peluang pekerjaan.
 

"Kelulusan EIA menggariskan pematuhan kemudahan terhadap piawaian alam sekitar yang ketat, memastikan semua operasi dijalankan dengan cara yang mengutamakan kemampanan dan meminimumkan kesan alam sekitar. 

 

"Ia juga penting kerana bukan sahaja mengesahkan rancangan operasi kemudahan tetapi juga mengukuhkan kepercayaan masyarakat dan menyokong objektif ekologi jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

dass
Gary Dass Anthony Francis

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Gary Dass Anthony Francis berkata, dengan kelulusan EIA pihaknya bersedia dengan pembangunan kemudahan canggih mewakili pelaburan besar dalam masa depan alam sekitar dan ekonomi Sabah.

 

Beliau berkata, ia bukan sekadar projek tetapi elemen penting komitmen kumpulan melindungi alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui amalan pengurusan sisa yang bertanggungjawab.

 

"Kemudahan itu, yang mewakili komitmen modal yang besar sebanyak RM100 juta, dijadualkan memulakan pembinaan pada suku keempat tahun ini. 

 

"Ia akan menetapkan penanda aras baharu untuk pengurusan sisa di rantau ini, memanfaatkan teknologi pemulihan dan kitar semula termaju untuk memaksimumkan kecekapan sumber dan meminimumkan kesan alam sekitar," katanya. - DagangNews.com