FSBM jalin kerjasama strategik dengan FMM, perkasa ekosistem teknologi kepada pengilang | DagangNews Skip to main content

FSBM jalin kerjasama strategik dengan FMM, perkasa ekosistem teknologi kepada pengilang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - FSBM Holdings Bhd menerusi FSBM MES Elite Sdn Bhd menjalinkan kerjasama strategik dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) bagi menjayakan Projek Berasaskan Misi (MBP) 2.1 yang bertujuan memperkasakan ekosistem teknologi, mempercepatkan penggunaan tekonologi dan amalan pembuatan termaju dalam kalangan pengilang. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerjasama itu merupakan bahagian penting dalam Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) 2030 yang bermatlamat menubuhkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030 melalui penggunaan Industri 4.0 dan teknologi digital.

 

Katanya, NIMP 2030 direka untuk meningkatkan industri pembuatan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, memanfaatkan trend global yang baharu muncul dan memupuk kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.

 

Pengarah Urusan FSBM, Pang Kiew Kun berkata, pembuatan pintar mereka disesuaikan mengikut keperluan pelanggan dan dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan.

 

Beliau berkata, pihaknya percaya, rumusan itu bukan sahaja menyelesaikan masalah untuk industri pembuatan tempatan, tetapi juga bertujuan menjadikan industri pembuatan tempatan lebih bijak, lebih berdaya saing, lebih cekap dan mampu bertindak balas terhadap perubahan teknologi yang pantas dalam masa nyata.

 

"Kerjasama kami dengan FMM adalah untuk mempercepatkan industri tempatan ke arah Industri 4.0.

 

"Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat menyediakan sokongan teknikal dan rumusan termaju kepada industri pembuatan tempatan bagi membantu syarikat meningkatkan kecekapan pengeluaran dan daya saing pasaran," katanya.

 

FSBM MES Elite telah dipilih sebagai antara 29 rakan strategik untuk perjalanan MBP 2.1 FMM.

 

Kerjasama itu memanfaatkan kekuatan kedua-dua organisasi untuk memacu kemajuan dalam sektor pembuatan Malaysia.

 

Beliau berkata, matlamat pihaknya adalah untuk membina ekosistem pembuatan yang lebih bijak, lebih cekap dan saling berkaitan untuk menggalakkan pembangunan mampan seluruh industri.

 

"Kami amat percaya bahawa memacu transformasi pintar bukan sahaja akan meningkatkan tahap keseluruhan industri pembuatan tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai prospek yang menarik untuk industri berteknologi tinggi, inovatif dan bernilai tambah tinggi pada masa hadapan, menarik pelaburan langsung asing yang berkualiti," katanya.- DagangNews.com