KLK catat untung bersih RM117.06 juta pada suku kedua FY2024, jatuh hampir 40% | DagangNews Skip to main content

KLK catat untung bersih RM117.06 juta pada suku kedua FY2024, jatuh hampir 40%

Berteraskan perladangan, KLK turut terlibat dalam sektor hartanah dan pembuatan. Gambar KLK
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Mei - Untung bersih Kuala Lumpur-Kepong Berhad pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY2024) susut kepada RM117.06 juta berbanding  RM190.8 juta pada setahun sebelumnya.

 

Penyusutan untung bersih syarikat berteraskan perladangan itu pada suku tahunan berakhir 31 Mac 2024 adalah sebanyak 38.6% berbanding 2QFY23.
  

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, KLK berkata, pendapatan 2QFY24 pula merosot 9.8% kepada RM5.455 billion daripada RM6.048 bilion setahun sebelumnya.

 

Tahun lalu, syarikat telah mencatat keuntungan one-off sebanyak RM72.9 juta daripada pelepasan perniagaan bahan kimia di Eropah.

 

Menurut KLK, walaupun harga jualan minyak sawit mentah yang lebih lemah pada RM3,620/tan (2QFY2023: RM3,727/tan), keuntungan perladangan meningkat sebanyak 24.5% kepada RM357.7 juta (2QFY2023: keuntungan RM287.3 juta) terutamanya disokong oleh kenaikan dalam jumlah jualan MSM.

 

Keuntungan segmen pembuatan pula turun sebanyak 69.5% kepada RM56.7 juta (2QFY2023: keuntungan RM186.0 juta) berikutan penurunan pendapatan kepada RM4.38 bilion (2QFY2023: RM5.09 bilion) dan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada bahagian Oleokimia.

 

"Walaupun pendapatan sedikit susut kepada RM56.7 juta (2QFY2023: RM57.5 juta), keuntungan hartanah turun sebanyak 59.4% kepada RM7.6 juta (2QFY2023: keuntungan RM18.7 juta) terutamanya disebabkan oleh pengiktirafan keuntungan pembangunan dari fasa-fasa dengan margin kasar yang lebih rendah.

 

"Segmen pelaburan dan lain-lain melaporkan kerugian yang lebih rendah sebanyak RM162.1 juta (2QFY2023: kerugian RM216.4 juta) terutamanya disebabkan oleh penurunan bahagian daripada kerugian ekuiti sebanyak RM87.2 juta (2QFY2023: bahagian kerugian ekuiti RM169.7 juta) daripada sebuah rakan kongsi luar negara, Synthomer plc. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Harga minyak sawit mentah jatuh 10% akhir April, susut lebih awal daripada jangkaan - MIDF Research

 

"Kerugian yang dilaporkan oleh Synthomer plc adalah disebabkan terutamanya oleh prestasi yang lemah berserta dengan caj bukan operasi," katanya.

 

Melihat ke hadapan, keuntungan Kumpulan dijangka terjejas oleh kerugian Synthomer dan sumbangan yang lemah dari segmen pembuatan, tetapi untung akan diperkuat oleh hasil lebih kukuh daripada segmen perladangan.

 

"Walaupun terdapat sedikit peningkatan hasil dari tahun ke tahun, segmen Perladangan telah menjadi penyumbang utama kepada hasil Kumpulan dengan keuntungan pra-cukai YTD sebanyak RM728 juta (FY2023: RM621 juta). 

 

"Kumpulan akan terus melaksanakan dasar-dasar kami yang sedang berlangsung untuk meningkatkan hasil, kos, dan produktiviti dalam suasana ketidakpastian dan cabaran global," jelasnya.- DagangNews.com