Siasatan terhadap YTL berkaitan 1BestariNet tiada campur tangan pihak lain - SPRM | DagangNews Skip to main content

Siasatan terhadap YTL berkaitan 1BestariNet tiada campur tangan pihak lain - SPRM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 6 Sept - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan yang dijalankan terhadap YTL Communications Sdn Bhd (YTL) membabitkan tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4.07 bilion adalah bersifat telus, adil dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.

 

"Untuk makluman, siasatan SPRM ini adalah berdasarkan aduan yang diterima melibatkan beberapa dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM 2009," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Siasatan terhadap YTL ini juga berdasarkan maklumat menerusi Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang baharu diterima pada Ogos baru-baru ini selain Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

 

 

Hasil dua laporan ini mendedahkan terdapat beberapa kelemahan antaranya seperti aspek capaian liputan jalur lebar yang rendah, kelemahan teknologi infrastuktur, lokasi sekolah selain capaian jalur lebar yang tidak menyeluruh.

 

Terdapat juga maklumat awam serta aduan daripada pihak tertentu mengenai projek ini yang gagal memberikan capaian jalur lebar dengan kelajuan sebagaimana dikehendaki dalam membantu proses pembelajaran di sekolah yang lebih efisein.

 

 

sprm

 

 

Selain itu, berdasarkan maklumat diterima, tender perkhidmatan 1BestariNet ini pada asalnya dirancangkan untuk tempoh 15 tahun membabitkan jumlah RM4.07 bilion, namun dipendekkan kepada 7 tahun 6 bulan tanpa ada pengurangan dari segi nilai kontrak.

 

Walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak mencapai matlamat, difahamkan masih ada beberapa tuntutan yang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada pihak kementerian terbabit yang memerlukan siasatan terperinci bagi mengesahkan perkara itu.

 

Sehingga kini, siasatan mendapati kerajaan perlu menanggung RM176 juta yang dituntut oleh syarikat berkenaan namun maklumat tuntutan tersebut belum dapat disahkan oleh kerajaan selain kerugian sewaan pencawang telekomunikasi bagi tempoh 5 tahun sejak 2019 yang dianggarkan berjumlah RM10.8 juta.

 

"Justeru, tidak timbul isu mengapa siasatan dibuat setelah projek 1BestariNet ditamatkan pada 2019 kerana menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional apabila mendapat maklumat baharu, khususnya yang melibatkan peruntukkan dana kerajaaan untuk pembangunan negara.

 

Sehubungan itu, SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seharusnya tidak boleh dikompromi. - DagangNews.com