KUALA LUMPUR 23 Dis - Buku tempahan Tuju Setia Bhd melonjak kepada RM2 bilion selepas memperoleh kontrak RM389 juta daripada Beverly Group sebagai kontraktor utama projek Milla Residence, pembangunan kediaman bertingkat di Quartz Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Buku pesanan semasa syarikat perkhidmatan pembinaan kekal sebagai rekod tertinggi, meningkat dua kali ganda daripada RM866 juta pada 31 Dis 2023.
Buku pesanan ini akan memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2028.
Projek Milla Residence dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh Tuju Setia, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd oleh Beverly WM Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Beverly Group Sdn Bhd.
Tuju Setia akan membina dua blok menara 52 tingkat (Menara A dan Menara B), bersama kemudahan umum dan blok tempat letak kereta automatik 17 tingkat dengan kemudahan atas bumbung.
Kerja-kerja pembinaan projek itu dijadualkan bermula pada April 2025 dengan tempoh projek selama 36 bulan.
Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata, kepercayaan berterusan Beverly Group terhadap Tuju Setia menggariskan keyakinan mereka terhadap kecekapan pembinaan pihaknya khususnya komitmen terhadap kualiti kerja dan penghantaran tepat pada masanya.
"Menjelang 2025, kami berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan pemulihan, disokong buku pesanan yang teguh dan kapasiti tersedia untuk melaksanakan lebih banyak projek.
"Kami menjangkakan 2025 akan menjadi tahun kemajuan selanjutnya dan yakin untuk mencapai pencapaian yang lebih penting dari segi kewangan dan operasi," katanya.
Sebelum projek Milla Residence, Beverly Group turut menganugerahkan Tuju Setia pembinaan Fasa 1 dan 2 projek One Equine pada 2021.
Selain itu, kumpulan itu mencatatkan pencapaian penting pada 2024 dengan penyiapan projek lain, termasuk The Pulse Residence (Puchong), 121 Residences (Petaling Jaya), Hospital Wanita & Kanak-Kanak Kajang, Kondominium Lakefront - Menara Utara di Emerald Hills (Cheras), dan Riana Dutamas - Fasa 2 (Segambut).- DagangNews.com