KUALA LUMPUR 23 Dis - Halal Development Corporation Bhd (HDC) memeterai kerjasama strategik dengan HEXIO untuk merevolusikan industri halal melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini dengan mempertingkatkan HDC Halal Navigator (HaNa).
HDC, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kerjasama itu akan meningkatkan HaNa dengan memperkenalkan model generative AI-powered retrieval-augmented generation (RAG) pertama, yang direka khusus untuk menyokong ekosistem halal.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari berkata, HaNa bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan operasi, tetapi juga menyediakan alat penting kepada perniagaan untuk memudahkan urusan pensijilan halal dan pematuhan.
"Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan HEXIO untuk memperkenalkan teknologi AI maju dalam industri halal. Kerjasama ini merupakan satu kemajuan penting dalam misi kami untuk menyokong dan membangunkan ekosistem halal Malaysia.
"HaNa akan mengubah cara perniagaan berhubung dan beroperasi dalam sektor ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut HDC, HaNa adalah pembantu berkuasa AI yang inovatif dan unik, direka untuk memenuhi keperluan khusus industri halal, membolehkan ia menghasilkan dokumen yang saling berkaitan dan tepat berdasarkan peraturan dan data yang relevan.
HDC berkata, HaNa yang dipertingkat akan memainkan peranan penting dalam membantu pembeli berpotensi mencari produk halal melalui Halal Integrated Platform, memudahkan hubungan antara pembeli dan pengeluar produk halal serta pembekal bahan mentah.
HDC menambah, HaNa menggunakan rangka kerja AI generatif terkini yang digabungkan dengan seni bina aplikasi bertaraf perusahaan, menawarkan ketepatan, kelajuan dan kebolehpercayaan yang tiada tandingan untuk pertanyaan berkaitan halal.
Kerjasama tersebut juga merupakan sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas untuk menyepadukan platform digital yang menyokong perniagaan berkaitan halal, selaras dengan Strategic Thrust 4 dalam Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), yang memberi fokus kepada peningkatan kualiti dan pembangunan infrastruktur yang bersepadu. - DagangNews.com