Pendapatan MyNews diramal meningkat lebih dua kali ganda pada pada FY25 - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan MyNews diramal meningkat lebih dua kali ganda pada pada FY25 - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Dis - RHB Investment menjangkakan MyNews Holdings Bhd mencatatkan pertumbuhan pendapatan kukuh sebanyak 122% bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025 (FY25). 

 

Katanya, ia didorong jangkaan pemulihan kedai serbaneka, CU selain cemerlang pusat pemprosesan makanan (FPC) dan WHSmith.

 

Kumpulan itu memberi tumpuan kepada memacu pertumbuhan melalui pengembangan pada FY25, menyasarkan 80 hingga 100 cawangan baharu di seluruh negara, terdiri daripada 60% MyNews dan 40% CU.

 

Firma penyelidikan itu berkata, cawangan Maru Coffee pertama, yang dibuka pada suku keempat berakhir 31 Oktober 2024 (4QFY24), menunjukkan prestasi yang baik.

 

MyNews merancang untuk membuka 20 lagi cawangan Maru Coffee pada FY25.

 

“Pengembangan margin keuntungan kasar (2.6 mata peratusan kepada 37.6% pada FY24) dijangka mampan berikutan penyatuan pasukan pengurusan MyNews dan CU, yang telah meningkatkan kuasa penawaran dengan pembekal, di samping kawalan pembaziran yang berkesan.

 

"Dengan peningkatan volum daripada pengembangan cawangan, kami meramalkan margin keuntungan kasar akan mencapai 38% pada FY25," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Investment juga menjangkakan pemulihan FPC MyNews berterusan, didorong volum yang lebih tinggi daripada pengembangan outlet, manakala WHSmith terus bertambah baik, disokong kehadiran semula pelancong.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar cukai berkesan (ETR) MyNews pada FY25 boleh kembali normal pada 24%, sejajar dengan purata pra pandemik pada tahun-tahun menguntungkan, kerana CU dijangka mencapai pemulihan pada FY25.

 

RHB Investment mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 81 sen sesaham. - DagangNews.com