KUALA LUMPUR 23 Dis - Nilai projek berkaitan lebuh raya dianugerahkan kepada kontraktor Bumiputera gred pendaftaran G7 ke G1 setakat suku ketiga 2024, mencapai RM15.09 bilion, hampir menyamai nilai diagihkan kepada golongan itu tahun lalu iaitu RM15.10 bilion.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, RM335 juta dianugerahkan kepada 1,631 syarikat Bumiputera G1 tahun ini, berbanding RM333 juta diterima oleh 1,585 syarikat G1 tahun lalu.
"Ini menunjukkan peningkatan penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek-projek lebuh raya.
"Ia mencerminkan kemampuan dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara," katanya seperti laporan Free Malaysia Today.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program matchmaking Persatuan Kontraktor Bumiputera bersama syarikat konsesi lebuh raya di bangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Pengarah LLM, Sazali Harun, Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia, Zakaria Ahmad Zabidi dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Mohd Rosdi Ab Aziz.
Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad berkata, program matchmaking tersebut bertujuan meningkatkan penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek berkaitan lebuh raya pada masa akan datang, sekali gus meningkatkan penguasaan ekonomi kumpulan tersebut. - DagangNews.com