Top Glove berada di landasan tepat bagi pengembangan kapasiti pengeluaran sarung tangan - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Top Glove berada di landasan tepat bagi pengembangan kapasiti pengeluaran sarung tangan - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Dis - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) yakin Top Glove Corporation Bhd berada di landasan tepat untuk mengembangkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 6.7% kepada 64 bilion keeping sarung tangan setiap tahun, disokong oleh peningkatan berurutan dalam jumlah jualan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap trend purta harga jualan (ASP) untuk sarung tangan getah kerana penurunan harga bahan mentah pada separuh pertama 2025 boleh membuatkan harga menjadi sedikit rendah.

 

"Bagaimanapun, kami percaya ia akan dikurangkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi didorong oleh kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) yang akan berlaku ke atas sarung tangan perubatan China berkuat kuasa pada Januari 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Top Glove melaporkan keuntungan bersih RM5.5 juta pada suku pertama berakhir 30 November 2024 (1QFY25), berbanding kerugian bersih RM57.7 juta pada tahun sebelumnya, didorong volum jualan dan ASP yang lebih tinggi.

 

Selepas melucutkan item bukan operasi, kerugian bersih teras 1QFY25 kumpulan berjumlah RM21.9 juta.

 

"Percanggahan dalam ramalan kami adalah disebabkan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

"Kami mengekalkan ramalan pendapatan FY25-FY27 kami, kerana kami meramalkan harga bahan mentah akan menurun pada 1H25, memberi ruang untuk margin yang lebih baik," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" ke atas Top Glove, dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM1.20 sesaham.

 

Sementara itu, CIMB Securities menganggap keputusan 1QFY25 Top Glove adalah dalam jangkaannya, mengunjurkan kumpulan itu mencatatkan keputusan yang lebih kukuh dengan ketara pada FY25.

 

Katanya, ia disokong persekitaran operasi yang lebih kondusif yang membawa kepada peningkatan lagi dalam jumlah jualan dan ASP.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan Top Glove akan mencatatkan keputusan yang lebih kukuh dalam baki suku tahun FY25, diikuti oleh kenaikan 132% tahun ke tahun dalam keuntungan bersih teras dalam ramalan FY26.

 

Katanya, kumpulan itu akan terus mendapat manfaat daripada permintaan sarung tangan global yang lebih tinggi, terutamanya daripada pelanggan yang berpangkalan di AS.

 

"Kami menurunkan penarafan kepada "pegang" daripada "beli", kerana percaya kenaikan harga saham baru-baru ini sebahagian besarnya memberi harga kepada prospek Top Glove yang bertambah baik," katanya. - DagangNews.com