Jaya Grocer umum pelantikan Daniel Teng sebagai CEO, Adelene Foo Pengerusi | DagangNews Skip to main content

Jaya Grocer umum pelantikan Daniel Teng sebagai CEO, Adelene Foo Pengerusi

Daniel Teng dilantik CEO Jaya Grocer berkuat kuasa 1 Oktober 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Sept - Jaya Grocer mengumumkan pelantikan Daniel Teng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Oktober 2024.

 

Dalam satu kenayataan, pengurusan pasar raya itu berkata, Daniel akan mengambil alih jawatan itu daripada Adelene Foo yang akan memegang jawatan Pengerusi Jaya Grocer.

 

Daniel yang kini berkhidmat sebagai Timbalan CEO Jaya Grocer akan memimpin pasar raya itu dalam menyediakan pelbagai produk berkualiti tinggi dan segar dengan harga terbaik, sambil memastikan pengalaman membeli-belah yang terbaik untuk pelanggan.

 

"Sebagai ahli keluarga pengasas Jaya Grocer, pemahaman mendalam Daniel tentang operasi dan nilai syarikat menjadikannya calon yang tepat untuk terus memacu kejayaan syarikat.

 

"Kepimpinannya menandakan fasa seterusnya dalam perjalanan Jaya Grocer menuju inovasi dan pengembangan pasaran, serta memperkukuhkan komitmennya terhadap kecemerlangan," kata Jaya Grocer hari ini.

 

adel
ADELENE FOO

 

Adelene Foo, yang telah berjaya memimpin Jaya Grocer sebagai CEO, akan mengambil alih jawatan Pengerusi sambil terus memimpin Grab Malaysia sebagai Pengarah Urusan.

 

Dalam kapasiti ini, beliau akan memberi tumpuan kepada membimbing arah strategik syarikat, sambil memperkukuhkan ekosistem kumpulan secara keseluruhan di Malaysia dan mencipta sinergi.

 

Kepimpinannya akan memastikan bahawa visi dan matlamat jangka panjang Jaya Grocer serta Grab tetap selaras, dan syarikat terus membina kejayaannya.

 

"Perubahan ini bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Jaya Grocer sebagai peruncit premium utama di Malaysia, menyokong pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan. Ia juga memastikan kesinambungan misi, visi, dan nilai bersama ekosistem," ujar kenyataan itu. - DagangNews.com