Kontroversi dan kegagalan CSR yang diamalkan oleh firma-firma terkenal, seperti; Volkswagen, Nestle, Nike, H&M, Apples, dan British Petroleum pada sekitar tahun 2010 ke 2020, telah menyumbang kepada kemunculan ESG.
ESG adalah merupakan metrik yang diwujudkan khas bertujuan untuk mengukur dan prestasi CSR firma berdasarkan dimensi Alam Sekitar (Environment), Sosial (Social) dan Tadbir Urus (Governance).
Ia berfungsi untuk menilai sama ada firma menjalankan tanggungjawab terhadap komitmen sosial dan alam sekitar mereka.
Terkini, muncul lebih kesedaran yang tinggi tentang ESG dalam kalangan firma, pelabur dan pihak berkepentingan. Ini disebabkan oleh kerajaan dan badan kawal selia yang telah memperkenalkan peraturan dan garis panduan baharu berkaitan dengan pelaporan dan amalan ESG.
Kerajaan juga menggalakkan firma untuk mematuhi garis panduan baharu ini. Tambahan pula, media massa Barat pula rancak membincangkan isu-isu sosial; isu seperti perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, pengurangan jejak karbon, amalan buruh, hak asasi manusia, dan ketelusan firma.
ESG telah meningkat popular dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi sebagai rakyat yang cerdik kita seharusnya berfikir jauh tentang ideologi Barat ini seadanya. ESG ialah satu pemikiran baru barat yang harus dibincangkan dan dikritik dengan penuh keilmuan.
Adakah ESG akan menjadi satu lagi ideologi Barat yang gagal seperti CSR? Adakah ESG merupakan satu lagi agenda (agenda setting) Barat yang bertujuan untuk meanjadikan ekonomi Barat kekal menguasai dalam perubahan pesat pasaran global?
Seperti CSR, ESG juga mempunyai kemungkinan tinggi untuk dijadikan alat propaganda dan publisiti pemasaran yang mengaburi niat sebenar di sebalik inisiatifnya. Sesetengah firma mungkin membesar-besarkan atau mengambarkan bahawa usaha ESG mereka untuk kelihatan sebagai sebuah firma yang mampan dan bertanggungjawab.
Amalan ini, dikenali sebagai “greenwashing”. Firma sering menumpukan pada usaha sosial yang mudah agar tampak mampan untuk meningkatkan skor ESG mereka, tanpa benar-benar menangani isu sistemik yang lebih penting.
Sejujurnya, ESG bukanlah tanpa sebarang kelemahan. Ia mempunyai cabaran dari sudut politik dan ekonomi.
Dari segi politik, kewujudan ESG didorong oleh nilai dan sistem ekonomi Barat. Prinsip ESG berakar umbi dalam konsep kemampanan, tanggungjawab korporat dan tadbir urus yang diketengahkan oleh Barat.
Prinsip ini mungkin tidak sentiasa selari dengan norma atau budaya sesuatu masyarakat lain di dunia. ESG telah membawa kepada polarisasi politik, di mana ia digunakan untuk mempromosikan ideologi progresif dalam perniagaan.
Contohnya, dalam bidang hak asasi manusia; menormalisasikan “gender pronounce” dan pengambilan tenaga kerja LGBTQ mungkin tidak sesuai dengan kepercayaan sesuatu budaya.
ESG boleh digunakan sebagai alat geopolitik untuk mempengaruhi ekonomi di negara membangun. Banyak agensi penarafan dan badan kawal selia ESG berpusat di Barat. Oleh itu, penarafan dan piawaian ESG yang dikenakan oleh institusi Barat berpotensi untuk meminggirkan perspektif masyarakat tempatan.
Melalui piawaian ESG yang mereka tetapkan, ia boleh membentuk amalan perniagaan global yang hanya sejajar dengan kepentingan ekonomi dan politik Barat. Syarat perdagangan yang mereka tetapkan ini, boleh dilihat sebagai satu modus dalam penguasaan ekonomi dunia.
Dari segi ekonomi, ESG boleh digunakan sebagai alat untuk mengawal permodalan global. Kini, penyokong utama ESG terdiri daripada firma pelaburan dan institusi kewangan gergasi Barat. Dengan mengutamakan ESG, mereka boleh mempengaruhi aliran modal dalam pasaran global.
Atas piawaian ESG yang ditetapkan, dana pelaburan global berpotensi untuk diarahkan ke firma dan wilayah ekonomi Barat. Bagi firma kecil yang tidak dapat mematuhi piawaian ESG ini, akan terkecuali dalam menarik pelabur. Tindakan pengecualian ini mampu melemah, dan sekali gus melumpuhkan ekonomi negara-negara dunia ketiga.
Disebabkan pelaburan ke dalam dimensi-dimensi ESG sangat mahal. Pelaksanaan piawaian ESG boleh meningkatkan kos operasi untuk sebarang perniagaan.
Situasi ini adalah lebih mencabar bagi syarikat tempatan di negara-negara dunia ketiga. Ini boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan atau menyukarkan perniagaan tempatan untuk bersaing dengan syarikat multinasional.
Inisiatif ESG sering memberi tumpuan yang lebih kepada syarikat besar, yang berpotensi mengabaikan keperluan perusahaan kecil dan sederhana (SME) atau pekerja sektor tidak formal. Kebanyakan sektor-sektor ini merupakan teras ekonomi negara dunia ketiga.
Dalam sesetengah kes, peralihan pasaran yang didorong oleh ESG boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan dan kemerosotan ekonomi di wilayah-wilayah tertentu. Kecenderungan ESG untuk terlalu memberikan penekanan terhadap faktor tertentu berbanding faktor lain, berpotensi untuk memesongkan reaksi pasaran.
Sebagai contoh, penekanan ESG kearah faktor Persekitaran (Environment) menyebabkan pengguna pasaran beralih permintaan ke arah kenderaan elektrik (electric vehicle, EV). Ini secara tidak langsung, meningkatkan permintaan untuk penggunaan kobalt.
Keadaan ini telah menyebabkan aktiviti perlombongan kobalt melampau di Republik Demokratik Congo yang mengabaikan hak asasi manusia.
Rumusannya, ESG bukanlah sesuatu yang boleh diterima secara membuta tuli. Ia adalah satu rangkaian tanggungjawab dan etika yang rumit, yang perlu diamati dengan cermat dan berjaga-jaga agar ekonomi negara tidak terperangkap atau tertipu.
Adalah penting bagi inisiatif ESG disesuaikan mengikut konteks khusus setiap negara. Ini adalah untuk memastikan bahawa inisiatif ESG digunakan kearah kesejahteraan negara tersebut, dan bukan untuk keuntungan ekonomi Barat.
Negara membangun harus menggunakan inisiatif ESG yang sejajar dengan prinsip dan nilai, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada persekitaran dan masyarakat setempat mereka. Tanpa pertimbangan dan pelaksanaan yang teliti, ESG secara tidak langsung boleh memburukkan lagi ketidaksamaan yang sedia ada. - DagangNews.com