ESG: `Indah Khabar Dari Rupa' dalam menangani masalah alam sekitar dunia | DagangNews Skip to main content

ESG: `Indah Khabar Dari Rupa' dalam menangani masalah alam sekitar dunia

Oleh Dr Muhammad Hafiz Ali

Sejak akhir-akhir ini, dunia sedang bergelut dengan pelbagai cabaran alam sekitar yang mendesak.

 

Isu penebangan hutan di Brazil, pencemaran udara di India, kekurangan air di Sub-Sahara Afrika, tumpahan minyak dan pencemaran di Nigeria, pencemaran plastik di Asia Tenggara, perubahan iklim di Amerika Syarikat dan kemusnahan biodiversiti di Kesatuan Eropah (EU).

 

Isu-isu ini bukan sahaja mengancam ekosistem tetapi juga mengganggu ekonomi, masyarakat dan kesihatan global.

 

Menangani masalah ini memerlukan usaha yang diselaraskan dan pendekatan transformatif. Di sinilah rangka kerja Environment (Alam Sekitar), Social (Sosial), and Governance (Tadbir Urus) atau ESG muncul sebagai tonggak penyelesaian.


 

Dr Hafiz Ali
Dr Muhammad Hafiz Ali

 

 

Dimensi Alam Sekitar dalam ESG dilihat mampu memerangi krisis Alam sekitar ini. ESG menggalakkan organisasi untuk mengamalkan gerak kerja lestari, mengurangkan jejak karbon, dan pembangunan teknologi hijau.

 

Dengan merangkumkan dimensi Alam Sekitar ke dalam strategi korporat sesebuah firma, ESG berpotensi untuk memacu perubahan sistemik dan mengurangkan desakan ancaman alam sekitar.

 

Namun, persoalannya adakah ESG benar-benar dapat menyelesaikan isu alam sekitar kita? Walaupun penggunaan prinsip ESG semakin meluas, terdapat pelbagai isu-isu praktikal yang menghalang objektif ini daripada tercapai.

 

Salah satu halangan paling ketara kepada keberkesanan ESG ialah kelemahan dari segi keseragaman metrik atau penanda aras piawai. Terdapat cabaran besar dalam mengukur prestasi ESG firma-firma dari pelbagai industri dan wilayah yang berbeza.

 

Ini kerana setiap firma mempunyai piawaian kawal selia dan norma budaya yang berbeza-beza. Ini menyukarkan inisiatif untuk mencipta metrik yang seragam dan selaras dalam mengukur prestasi ESG untuk semua firma.

 

Tambahan pula, metrik ESG tidak mempunyai piawaian yang universal. Kriteria yang digunakan untuk menilai prestasi ESG firma boleh menjadi subjektif, yang membawa kepada tafsiran yang berbeza-beza tentang amalan ESG yang "baik" atau "tidak baik".

 

Selain itu, skor dan penilaian prestasi ESG yang dihasilkan oleh agensi bebas (contoh; MSCI, DJSI, Bloomberg, Morningstar, ASSET4, dll) menggunakan metodologi yang berbeza dalam kalangan mereka. 

 

Keadaan ini menyukarkan perbandingkan prestasi dengan tepat, yang membawa kepada penilaian yang tidak konsisten terhadap prestasi ESG firma.

 

Selain itu, firma juga bergantung pada rangka kerja pelaporan ESG yang berbeza, seperti Global Reporting Initiative (GRI), Sustainability Accounting Standards Board (SASB), atau Task Force on Climate-Related Financial Disclosures (TCFD).

 

Pelaporan yang pelbagai ini menghasilkan data yang tidak konsisten dan kadangkala tidak dapat dibandingkan, lalu menyukarkan proses penilaian impak alam sekitar yang dihasilkan sesebuah firma.

 

Contohnya, dua syarikat dalam industri yang sama mungkin melaporkan metrik pelepasan karbon yang jauh berbeza berdasarkan metodologi yang mereka pakai.

parafrasa


Menyedari keadaan ini, terdapat beberapa sistem perdagangan pelepasan karbon yang telah diwujudkan di serata dunia. Sistem perdagangan pelepasan karbon ialah contoh inisiatif yang sejajar dengan matlamat ESG.

 

Ia menggunakan mekanisme pasaran untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Contohnya; European Union Emissions Trading System (EU ETS), California Cap-and-Trade Program (Amerika Syarikat), China’s National Carbon Market (CNCM), Regional Greenhouse Gas Initiative (RGGI) (Amerika Syarikat), dan New Zealand Emissions Trading Scheme (NZ ETS).

 

Sistem perdagangan pelepasan karbon ialah program yang direka untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan meletakkan harga pasaran pada karbon.

 

Dengan mewujudkan pasaran untuk karbon, sistem ini memberi insentif kepada syarikat untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau pada kos yang paling rendah.

 

Sistem ini menetapkan had ke atas jumlah gas rumah hijau yang boleh dilepaskan oleh loji janakuasa, kilang, atau kemudahan perindustrian. Terkini, EU ETS ialah sistem perdagangan pelepasan karbon terbesar dan diiktiraf paling mantap di seluruh dunia.

 

Walaupun sistem-sistem perdagangan pelepasan karbon ini berdasarkan prinsip perdagangan yang sama, namun ia berbeza dari segi skop, liputan sektor, dan ketegasan undang-undang.

 

Oleh itu,  kejayaan sistem-sitem ini berbeza-beza berdasarkan persekitaran kawal selia tempatan, struktur ekonomi dan keupayaan penguatkuasaan sesebuah kawasan atau negara tersebut.

 

Keberkesanan sistem perdagangan pelepasan karbon ini sangat bergantung pada piawaian pengukuran dan pelaporan yang mantap.

 

Firma-firma yang mengambil bahagian dalam sistem perdagangan pelepasan karbon ini harus mengukur dan mengesahkan pelepasan karbon mereka dengan tepat untuk memastikan mereka mematuhi had elaun pelepasan karbon yang telah diperuntukkan kepada mereka.

 

 

parafrasa

 

 

Oleh itu, rangka kerja ESG yang tidak konsisten boleh mewujudkan percanggahan dalam data pelepasan karbon yang dilaporkan. Percanggahan ini membolehkan firma terlibat dalam arbitraj kawal selia.

 

Sebagai contoh, firma dari negara maju seperti Jerman yang menguatkuasakan pelaporan pelepasan karbon yang ketat, akan mengalihkan operasi mereka ke negara yang memiliki tetapan kawal selia pelepasan karbon yang kurang ketat, seperti Indonesia.

 

Keadaan ini berpotensi menjejaskan integriti sistem perdagangan pelepasan karbon tersebut.

 

Jelas bahawa, sistem ini bergantung kepada data yang komprehensif, ini sejajar dengan keperluan untuk piawaian metrik ESG yang universal dan seragam bagi menilai keberkesanan pengurangan pelepasan gas rumah hijau oleh firma-firma.

 

Oleh itu, dengan sekadar ESG sahaja tidak mampu menyelamatkan alam sekitar. Walaupun rangka kerja ESG menawarkan jalan untuk menangani masalah alam sekitar, namun pelaksanaan praktikalnya masih berdepan pelbagai cabaran.

 

Isu-isu praktikal ini perlu ditangani agar ESG dapat menjadi kuasa transformatif dalam menyelesaikan masalah alam sekitar kita.

 

ESG memerlukan kerjasama penuh daripada masyarakat di seluruh spektrum sosial, korporat, dan kerajaan, sebelum ia benar-benar mampu menjadi pemacu kuasa transformatif alam sekitar kita. Natijahnya, perjalanan ESG masih lagi jauh. - DagangNews.com

 

Dr. Muhammad Hafiz Ali adalah Koordinator Perbankan & Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.