KUALA LUMPUR 24 Dis – OCBC Bank (M) Bhd (OCBC Bank) sekali lagi dinobatkan sebagai Bank Terbaik Malaysia oleh The Banker, sebuah penerbitan kewangan yang berpusat di London.
Ini merupakan kejayaan kali kedua berturut-turut diterima OCBC Bank, dalam anugerah yang mengiktiraf bank-bank yang menunjukkan pertumbuhan sambil mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh, peningkatan kualiti perkhidmatan, pelaburan dalam teknologi, serta penglibatan dalam komuniti tempatan.
Prestasi cemerlang OCBC Bank dikaitkan dengan beberapa faktor utama, termasuk peningkatan keuntungan operasi, pertumbuhan pendapatan dan margin faedah bersih.
Inisiatif hijau yang diterajui oleh bank itu turut dipuji antaranya, menjadi yang pertama di Malaysia untuk menyediakan pelan bebas karbon bagi perniagaan melalui platform pengurusan karbon dalam talian Malaysian Green Technology and Climate Change Corp.
The Banker turut memperakui program sosial meluas yang dilaksanakan oleh OCBC Bank, dengan kadar sukarelawan staf melebihi 90%, serta inovasi dalam perkhidmatan perbankan patuh syariah.
Ini termasuk penawaran pembiayaan hijau patuh syariah berjumlah RM785.60 juta melalui cabang perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin, kepada sebuah bank tempatan.
OCBC Bank juga memperkenalkan akaun perniagaan dalam talian patuh syariah, OCBC eBiz Account-i, yang disesuaikan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bank tersebut turut memberikan sokongan modal kepada perniagaan tempatan dengan lebih RM142 juta disalurkan melalui kemudahan Biz-Financing-i.
Selain itu, OCBC Bank bekerjasama dengan Credit Guarantee Corp Malaysia Bhd untuk menawarkan jaminan portfolio bernilai RM100 juta, memberikan sokongan lebih kepada perniagaan kecil yang pulih dari kesan ekonomi pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen berkata, pengiktirafan berkenaan mengukuhkan komitmen berterusan kumpulan itu terhadap perkhidmatan pelanggan, kelestarian, tanggungjawab sosial, perbankan Islam, pendigitalan dan pembangunan PKS.
"Pengiktirafan ini akan mendorong kami untuk tidak hanya melakukan lebih banyak perkara yang berkesan untuk komuniti yang kami layani, tetapi juga untuk terus mencabar diri kami untuk lebih cemerlang dan melakukan yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.
OCBC Bank, yang menjadi pemain utama dalam landskap kewangan Malaysia selama lebih 90 tahun, adalah sebahagian daripada Kumpulan OCBC yang berpusat di Singapura, kumpulan perbankan kedua terbesar di Asia Tenggara dari segi aset.
Selain kemenangan itu, Kumpulan OCBC juga diiktiraf sebagai Bank Terbaik untuk Asia Pasifik dan Indonesia.
The Banker, sebuah perkhidmatan daripada Financial Times, adalah sumber utama analisis kewangan global, menawarkan pandangan untuk membantu pemimpin kewangan membuat keputusan strategik.
Anugerah 2024 mengiktiraf kecemerlangan bagi bank-bank di 127 negara. - DagangNews.com